Pemangku Komander PPM, Superintendan Shoppri Saad (kiri) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas Polis Marin di Nibong Tebal, Pulau Pinang kelmarin.

NIBONG TEBAL – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas rokok seludup tidak dibayar cukai bernilai RM2.04 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran kelmarin.

Ops Kontraban yang dilakukan pada jam 7.30 malam itu membawa kepada rampasan 280 kotak rokok putih di sebuah gudang di Jalan Chang di sini.

Pemangku Komander PPM, Superintendan Shoppri Saad berkata, dalam perjalanan ke kawasan gudang itu, pihaknya menyedari diekori beberapa buah kenderaan disyaki tonto.

“Sebaik tiba di kawasan gudang itu kita dapati terdapat sebuah kereta dan menyedari kehadiran pasukan PPM mereka memecut laju kenderaan dan tidak dapat dikesan.

Shoppri (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas Polis Marin di Nibong Tebal kelmarin.

“Susulan itu, pihak PPM membuat pemeriksaan di dalam gudang tersebut dan mendapati terdapat 280 kotak rokok seludup pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai berjumlah RM 2.04njuta disimpan di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shoppri, kira-kira satu jam intipan dan pemerhatian dibuat di lokasi kejadian tiada individu yang tampil di kawasan gudang tersebut.

”Polis tidak menolak kemungkinan semua rokok ini diseludup dari negara jiran namun masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sindiket yang terlibat dalam kegiatan ini.

“Kesemua rampasan itu dibawa ke Pengkalan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan pihaknya akan meneruskan operasi untuk mengesan dalang-dalang sindiket penyeludupan itu,” katanya.

Orang ramai disarankan menyalurkan maklumat kepada PPM menerusi talian 04 655 8222 untuk membanteras kegiatan berkenaan kerana aktiviti penyeludupan telah menyebabkan ketirisan cukai kerajaan sebanyak RM5 bilion setahun. – MalaysiaGazette