logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu sindiket menawarkan jualan pakej vaksin Covid-19 secara dalam talian dan juga menerusi panggilan telefon berjaya ditumpaskan.

Sindiket itu didapati mempromosi jualan vaksin itu dengan harga RM450 untuk individu tempatan dan RM800 untuk warga asing tanpa perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Tipu helah sindiket itu berjaya dikesan apabila seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 26 dan 27 tahun telah ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah itu menerusi serbuan polis di Selangor semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang mendakwa menerima maklumat daripada rakan kenalan rapatnya berkaitan tawaran pakej vaksin berkenaan.

“Hasil maklumat diperoleh, kami berjaya menahan kedua-dua suspek berkenaan di Selangor dan mereka direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati suspek membuat penawaran pakej vaksin berkenaan melalui laman sosial Facebook dan panggilan telefon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Kamarudin, pelanggan yang berminat dan mahu mendapatkan pakej vaksin palsu itu akan didaftarkan ke dalam Program Vaksinansi Covid-19 Selangor (SCVP) melalui aplikasi Selangkah.

Katanya, mana-mana pembeli yang berminat untuk mendaftar melalui mereka akan diletakkan dalam senarai menunggu.

“Pembayaran hanya perlu dibuat oleh pembeli selepas nama mereka tersenarai sebagai penerima vaksin dalam aplikasi berkenaan.

“Suspek mendakwa kira-kira 30 orang sudah dihubungi berkenaan pakej vaksinasi terbabit dan 10 peratus sudah menyatakan minat untuk membeli pakej ditawarkan.

“Semakan lanjut mendapati sehingga kini pendaftaran SCVP hanya dihadkan kepada syarikat sahaja dan masih belum dibuka individu persendirian,” ujarnya.

Rentetan pembongkaran sindiket itu, Kamarudin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan inisiatif vaksinansi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membendung kegiatan penipuan berkaitan vaksin Covid-19.

“Kealpaan kita dalam program dan inisiatif yang sedang dilaksanakan ini boleh dimanipulasi oleh sindiket penipuan seperti mereka ini yang menangguk di air yang keruh bagi menjana keuntungan mudah.

“Kami juga menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penipuan penjualan vaksin Covid-19 kepada pihak polis untuk tindakan lanjut yang tegas ke atas mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette