Datuk Ir. Baharin Din

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumpul hampir RM1.28 juta bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di seluruh Semenanjung, khususnya kepada golongan B40.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kutipan sebanyak itu diperoleh dalam tempoh lapan hari sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu.

Katanya, lebih 11,000 daripada warga kerja TNB bersetuju membuat sumbangan melalui potongan gaji kepada Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) yang akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan dalam tempoh terdekat ini.

“Pengurusan Tertinggi TNB dan Presiden Kesatuan/ Yang Di Pertua Persatuan dalaman TNB bersepakat menubuhkan tabung berkenaan sebagai satu kaedah bagi warga kerja TNB bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.

“Alhamdulillah, dalam tempoh lebih seminggu kempen tabung ini bermula, warga kerja TNB telah menghulurkan sumbangan melalui penolakan gaji bulanan pada bulan Jun dan Julai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Baharin, beliau yakin jumlah kutipan itu akan terus meningkat sehingga kempen menderma tersebut tamat pada 15 Julai nanti.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi setiap ringgit yang didermakan warga kerja TNB kepada tabung berkenaan, syarikat utiliti itu akan menambah jumlah yang sama supaya lebih ramai orang mendapat manfaatnya.

““Saya sendiri dibesarkan dalam masyarakat bandar yang mencabar, dan oleh itu amat memahami kesusahan masyarakat yang terjejas pendapatan dan mungkin juga kehilangan pekerjaan berikutan kegawatan ekonomi ketika ini. Kesedaran ini juga saya percaya dikongsi rakan-rakan saya yang lain di TNB,” ujarnya.

Baharin menambah, pengagihan tabung WTP itu akan diberikan dalam bentuk wang tunai secara atas talian (online banking) dan secara fizikal kepada para penerima individu yang dikenalpasti, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya lagi, para penerima dikenalpasti berdasarkan senarai golongan B40 melibatkan Orang Kurang Upaya, e-Kasih, JKM dan PPRT (di bawah Kementerian Pembangunan Wanita & Masyarakat), Pusat Zakat Negeri dan maklum balas warga kerja TNB.

Selain Tabung Warga TNB Prihatin (WTP), sejak awal tahun ini, TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku, tambahnya. – MalaysiaGazette