Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa perbincangan sidang video dengan Presiden Mesir, Abdel fattah Al Sisi semalam.

KUALA LUMPUR – Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian dalam perbincangan sidang video dengan Presiden Mesir, Abdel fattah Al Sisi semalam.

“Saya telah membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia-Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

“Alhamdulillah, TYT Presiden menyatakan kesediaan Kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, pada perbincangan julung kali yang diadakan secara persidangan video itu beliau mengambil inisiatif mengemukakan pandangan sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir.

“Kami juga banyak menyentuh berkenaan isu-isu kepentingan bersama khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

“Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion,” kata Muhyiddin.

Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar di Afrika, Muhyiddin menggunakan kesempatan itu untuk menggalakkan Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi dari Malaysia malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan.

“Saya dan TYT Abdel Fattah Al Sisi turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan Malaysia-Mesir pada masa hadapan.
“Dalam hal ini, saya mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation dan cadangan ini telah disambut baik oleh TYT Presiden,” katanya.

Malaysia juga menyatakan penghargaan ke atas peluang-peluang pendidikan yang diberikan oleh Kerajaan Mesir kepada rakyat negara ini di mana buat masa ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu.- MalaysiaGazette