Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyelinap masuk ke negara ini ditangkap dalam Op Bentang kawalan sempadan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi itu turut merampas sembilan buah kenderaan darat serta dua buah bot.

“Dalam operasi itu, sebanyak 212 buah bot turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan,” katanya menerusi kenyataan mengenai situasi terkini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 957 sekatan jalan raya (SJR) dibuat pada semalam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain.

Katanya lagi, seramai 591 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatifnya jelas beliau, sejak 24 Julai tahun lepas, seramai 228,496 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan sembilan Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 7,551 individu telah dikuarantin dan 218,196 orang dibenarkan pulang manakala 2,749 lagi dibawa ke hospital, katanya. – MalaysiaGazette