KUALA LUMPUR – Setakat 16 Jun 2021, secara keseluruhannya sebanyak 2,082 syarikat dari seluruh negara dengan jumlah pekerja seramai 301,050 orang telah berdaftar di dalam Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19.
Dalam lawatan tapak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pengerang. Johor hari ini, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, seramai 5,123 pekerja dijangka akan divaksin di lokasi ini.
Bagi negeri Johor, sebanyak 255 syarikat telah berdaftar dan seramai 14,357 pekerja adalah pemain industri di negeri itu, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
.
Program PIKAS adalah langkah responsif berikutan cadangan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana untuk membantu mempercepat vaksinasi bagi rakyat, untuk mencapai imuniti kelompok di dalam komuniti.
Program yang dilancarkan pada 12 Jun ini disasarkan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan. Program ini telah mendapat
sokongan penuh pemain industri dan bakal memberi impak positif kepada produktiviti di tempat kerja selain memberi jaminan perlindungan kesihatan mereka.
Vaksinasi bagi golongan rentan tetap menjadi keutamaan bagi kerajaan di bawah program PICK dan tidak akan dikompromikan, namun pelaksanaan PIKAS adalah penting dalam melindungi pekerja daripada risiko jangkitan.
MITI telah memberi jaminan bahawa pekerja yang menyertai program ini tidak akan dibebani dengan kos tambahan dan vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan kepada pekerja.
Lebih 150,000 dos sebagai permulaan telah diperuntukkan untuk program PIKAS.
Melalui program kolaborasi awam-swasta ini, majikan perlu menanggung kos pentadbiran proses vaksinasi dan tidak dibenarkan untuk memotong
gaji pekerja bagi membiayai kos yang terlibat.
PIKAS adalah sebuah inisiatif di bawah Fasa 4 PICK dan adalah sebuah kolaborasi inovatif di antara pihak awam dan swasta.
Vaksinasi untuk sektor pembuatan di bawah PIKAS memberi tumpuan kepada subsektor pembuatan yang kritikal seperti elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat pelindung diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah termasuk pembuatan sarung tangan
perubatan. – MalaysiaGazette