Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara hari ini membuat keputusan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Sabah.

Dua kawasan itu ialah Kampung Gusi Kinarut dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, lanjutan itu berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan masih berlaku penularan terutama dalam kalangan komuniti.

“KKM mendapati penularan masih berlaku, terdapat juga kes baharu direkodkan dalam kalangan komuniti dan masih banyak sampel ujian saringan belum mendapat keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Gusi Kinarut, Papar, Sabah bermula 20 Jun sehingga 3 Julai dan di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat, Sabah bermula 20 Jun sehingga 3 Julai 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, sepanjang pelaksanaan PKPD di lokaliti itu (Kampung Gusi Kinarut), KKM telah melakukan 346 ujian saringan dan 141 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Begitu juga di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi apabila melakukan 107 ujian saringan dan 26 daripadanya disahkan positif Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette