Pesakit Covid-19 dengan gejala serius tiba di Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM. - Foto Twitter Dr Noor Hisham Abdullah
KUALA LUMPUR – Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) telah mula menerima pesakit Covid-19 semalam.
Pengambilmilikan sementara hospital ini dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menggunakan kuasa di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Darurat 2021 bagi membantu meningkatkan kapasiti rawatan Covid-19 di sekitar Lembah Klang.
Perkembangan terkini itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan di laman Twitter.
Beliau berkata, hospital tersebut menerima rujukan hanya dari Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu Wilayah Tengah yang berperanan mengkordinasi pergerakan dan penempatan pesakit wabak tersebut di Selangor dan Kuala Lumpur.
Pesakit Covid-19 dengan gejala serius menerima rawatan di Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM. – Foto Twitter Dr Noor Hisham Abdullah
Setakat pagi ini, katanya, terdapat 14 pesakit dengan gejala serius sudah dimasukkan ke hospital ini termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Hospital Pakar Kanak-kanak  UKM merupakan hospital yang baru siap dibina dan semalam merupakan kali pertama hospital ini menerima pesakit,” katanya.
Pada Mei lalu, Dr Noor Hisham berkata, sebagai langkah menangani peningkatan mendadak kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan katil rawatan kritikal di ICU, pihaknya dan UKM telah bertemu untuk membincangkan cadangan penggunaan Hospital Pakar Kanak-kanak itu sebagai Hospital Covid-19.
Dr Noor Hisham Abdullah.
HPKK UKM merupakan hospital pengajar yg baru siap dibina dan mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal (ICU).
Ia berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat Covid-19 khususnya mereka dengan gejala yang serius. – MalaysiaGazette