Foto hiasan

BATU PAHAT – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah menjejaskan jualan ayam, menyebabkan harga makanan itu terus menjunam, malahan ke paras bawah kos pengeluaran.

Sinchew Daily melaporkan, keadaan itu mungkin menyebabkan industri penternakan ayam secara keseluruhannya mengalami kerugian yang boleh mencecah RM200 juta dalam tempoh sebulan.

Ketua Unit Ayam Daging, Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Kwei Yew Tong berkata, disebabkan ramai orang duduk di rumah dan tidak boleh makan di restoran, keadaan itu menyebabkan permintaan ayam menjunam.

Katanya, modal untuk pengeluaran ayam adalah RM5.60 sekilogram, tetapi harga jualan di pasaran adalah lebih rendah daripadanya  iaitu sebanyak RM3.80.

“Keadaan ini bermakna harga jualan adalah RM1.80 lebih rendah daripada kos penternakan.

“Sejak PKP 3.0, jualan ayam telah menurun kira-kira 30 peratus.

“Walaupun begitu, penternak tidak boleh melupuskan lebihan ayam yang ada, tetapi kami perlu menjual ayam di reban walaupun mengalami kerugian,” katanya.

Menurutnya, orang ramai digalakkan untuk mengambil kesempatan harga murah untuk memakan lebih banyak ayam sambil membantu penternak yang berdepan kesulitan.

Yew Tong berkata, anggaran FLFAM mendapati sebanyak 1.6 juta ekor ayam atau 3.52 juta kilogram daging ayam dikeluarkan setiap hari.

“Berdasarkan keadaan semasa, penternak mengalami kerugian RM1.80 untuk setiap kilogram.

“Keadaan ini bermakna penternak mengalami kerugian RM6.33 juta setiap hari atau hampir RM200 juta sebulan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya keadaan pasaran yang muram kekal sehingga Ogos dan September, ladang penternakan kecil-kecilan akan mengalami nasib penutupan.

“Penutupan ladang kecil-kecilan juga bermakna kemungkinan berlaku kekurangan ayam segar pada masa akan datang.

“Gulung tikar juga bermakna pengurangan sumber pendapatan cukai oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Harap Gomen akan buat PKP tiap kali bulan Ramadan. Puak puak ni semua lintah besar. Skang rasakan.

  2. haa.. padan la. masa rakyat susah kamu buat x tau ja. x nak kompromi lgsung pasal harga. skrg kamu ada masalah pndai pulak cari rakyat marhain ni. nk buat kempen bagai..

Comments are closed.