Team Task Force Covid-19 IPD Shah Alam menjalankan pemeriksaan ke atas kilang Carlsberg Brewery di Seksyen 15, Shah Alam ekoran sebuah video viral yang mendakwa kilang tersebut beroperasi ketika pelaksanaan PKP 3.0 semalam.

KUALA LUMPUR – Kilang Carlsberg Brewery Malaysia Berhad di Seksyen 15, Shah Alam tidak menjalankan apa-apa aktiviti berkaitan pengilangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seperti dakwaan yang tular di media sosial ketika ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ekoran  video tular itu, pasukan petugas Pematuhan Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menjalankan pemeriksaan sekitar pukul 7.40 malam semalam di kilang berkenaan.

“Pemantuan yang dibuat mendapati memang tidak ada sebarang operasi pengilangan arak yang dijalankan.

“Team Task Force telah berjumpa Pengurus Kanan Carlsberg Brewery, Zainudin Awang yang menyatakan dengan jelas kilang itu memang tidak beroperasi sejak 1 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Team Task Force Covid-19 IPD Shah Alam menjalankan pemeriksaan ke atas kilang Carlsberg Brewery di Seksyen 15, Shah Alam ekoran sebuah video viral yang mendakwa kilang tersebut beroperasi ketika pelaksanaan PKP 3.0 semalam.

Menurut Baharudin, pemeriksaan juga dilakukan secara menyeluruh dan mendapati kilang tersebut mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) PKP dengan baik tanpa sebarang bentuk operasi pengilangan.

Tambah Baharudin, pengurus terbabit turut menyatakan bahawa kepulan asap yang dilihat keluar dari salah satu cerobong kilang terbabit merupakan wap dari proses memanaskan sejenis bahan mentah yang menyerupai gandum atau ragi.

“Bahan itu perlu dipanaskan bagi memastikan ia tidak rosak sepanjang penutupan operasi kilang.

“Manakala asap atau wap perlu dikeluarkan untuk mengelak berlakunya letupan dan proses ini dipanggil meletakkan peralatan pengilangan dalam keadaan siap siaga berdasarkan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, pihak pengurusan kilang turut memberikan kerjasama yang baik dan akur dengan arahan pihak berkuasa dalam memutuskan penularan wabak Covid-19 ini.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, polis akan memanggil individu yang bertanggungjawab menyebarkan video tersebut.

Terdahulu sebuah video berdurasi 47 saat tular di laman sosial memaparkan salah sebuah cerobong dari kilang memproses minuman keras itu mengeluarkan kepulan asap putih.

Video itu dipercayai dirakam semalam sekitar pukul 7.45 pagi oleh seorang individu yang mendakwa kilang tersebut sedang beroperasi seperti biasa ketika pelaksanaan PKP 3.0 dengan kehadiran pekerja.

Sementara itu, berdasarkan satu surat yang dikeluarkan oleh MITI, kilang berkenaan dibenarkan meletakkan peralatan pengilangan dalam keadaan siap siaga bagi tempoh PKP.

Surat tersebut turut menyatakan hanya 10 peratus pekerja kilang Carlsberg Brewery Malaysia Berhad dibenarkan bergerak dari kediaman ke kilang dengan syarikat wajib memberi surat kebenaran perjalanan kepada pekerja yang bertugas. – MalaysiaGazette