Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberi notis penetapan tarikh sidang Parlimen dengan segera bagi mengelak kerajaan pimpinan dilihat gagal dan beliau dituduh menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhammad Faiz Fadzil menegaskan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengeluarkan satu dekri (perintah) supaya Parlimen bersidang segera dan ia perlu dirujuk menerusi peruntukan seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Peruntukan ini sangat jelas dan tiada kekaburan (unambiguous) bahawa kuasa mutlak terletak kepada Agong untuk memanggil sidang Parlimen. Maka, dekri YDPA ini adalah sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Faiz, keadaan itu mewujudkan percanggahan undang-undang kerana Perlembagaan menyatakan Agong bertindak atas nasihat Pertdana Menteri, tetapi Ordinan Darurat memberikan kuasa Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Beliau menjelaskan, Ordinan Darurat adalah mengatasi dan terpakai untuk Agong berkuasa mutlak bagi memanggil sidang Parlimen tanpa terikat dengan nasihat Perdana Menteri berdasarkan peruntukan undang-undang.

Katanya, Perkara 150 (6) dan (6A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa mana-mana peruntukan dalam Akta Parlimen yang diluluskan sebagai undang-undang darurat tidak dianggap batal walaupun bertentangan dengan Perlembagaan kecuali berkaitan perkara agama, adat istiadat Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan atau bahasa.

Dengan memberikan contoh, Muhammad Faiz menjelaskan, Mahkamah Persekutuan dalam kes Eng Keok Cheng melawan Public Prosecutor memutuskan bahawa Akta Darurat (1964) adalah sah dan mengatasi Perlembagaan, katanya.

Di dalam kes itu kata beliau, tertuduh telah didapati bersalah memiliki senjata api dan dihukum gantung mengikut Akta Darurat (1964).

Hujah bahawa Akta Darurat ini tidak sah kerana bertentangan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan tidak diterima panel hakim Mahkamah Persekutuan di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa semasa darurat, apa sahaja undang-undang boleh dibuat walaupun bertentangan dengan Perlembagaan, tegasnya.

“Berdasarkan hujah itu, saya berpendapat bahawa dekri Agong mengenai Parlimen perlu dipanggil bersidang segera hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai badan eksekutif di bawah Ordinan Darurat (2021).

“Dekri Agong bahawa sidang Parlimen dipanggil ‘segera’ adalah jelas dan tidak mempunyai maksud berlainan (unambiguous).

“Oleh itu, menurut Peraturan 11 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis Mesyuarat hendaklah memberikan notis penetapan tarikh sidang Parlimen dengan segera, tanpa kelengahan lagi.

“Jika tidak, kerajaan PN bukan sahaja dilihat kerajaan gagal, tetapi derhaka kepada dekri YDPA,” tegasnya. – MalaysiaGazette