Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Mengharungi fasa demi fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah sesuatu yang mudah buat seluruh rakyat di negara kerana banyak cabaran dan ragam terpaksa dihadapi.

Tidak dinafikan terdapat segelintir individu sudah merasa letih dan bosan untuk terus kekal berada di rumah apabila melihat trend jangkitan Covid-19 yang masih merekodkan angka empat digit setiap hari.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar kawasan Chow Kit hari ini mendapati, rata-rata orang awam meluahkan rasa kelesuan mereka berhadapan dengan PKP dan pandemik Covid-19 yang sudah lebih setahun melanda negara.

Seorang pembantu bilal, Rashid Yahya, 48, berkata, dia kadang kala merasa runsing apabila terlalu lama berkurung di dalam rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti.

Pembantu bilal, Rashid Yahya . Foto MOHD ADZLAN, 19 JUN 2021.

“Memang letih dengan PKP ini kadang kala sampai runsing sebab duduk dalam rumah sahaja. Kalau keluar pun hanya untuk beli barang dapur. Bukan apa, bila dapat keluar rumah boleh juga lapangkan minda.

“Saya pula bertugas di masjid, kalau dulu-dulu jemaah boleh cecah sehingga 3,000 orang sekarang cuma hanya mereka yang dibenarkan sahaja boleh berada di masjid. Tak dinafikan apabila terkenang musibah yang berlaku ini memang sedih dan rasa terkilan kerana individu bertugas di masjid pun terpaksa dihadkan, dah tak sama macam dulu.

“Kalau boleh sama-sama lah berdoa supaya kita semua dijauhkan daripada bala sepanjang musim Covid-19 ini,” katanya yang menetap di Taman Bukit Angkasa dekat sini.

Peniaga putu bambu, Yusrizal Yuhanas ditemu ramah mengenai orang ramai mula tertekan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 JUN 2021.

Sementara itu bagi peniaga putu bambu, Yusrizal Yuhanas, 58, berkata, para peniaga kecil merupakan antara golongan yang paling terkesan akibat penutupan sektor ekonomi sebelum ini.

Menurut Yusrizal yang menetap di Kampung Baru, ia berikutan golongan tersebut bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian yang diperoleh.

“Ketika musim PKP ini memang orang pun berkurangan kerana semua duduk di rumah dan takut untuk keluar gara-gara Covid-19.

“Tidak dinafikan dari segi perniagaan banyak yang terjejas kerana tiada pembeli tetapi kami masih perlu keluar berniaga kerana itu sahaja hasil pendapatan sekeluarga untuk belanja dapur.

“Kalau dapat lihat begini lah keadaan sekitar Pasar Chow Kit buat masa ini, tiada sambutan pelanggan. Kalau ikutkan berniaga ketika ini hendak pusing modal pun jauh sekali tapi apa boleh buat saya kena terus berusaha kerana rezeki kita semuanya Allah yang tentukan asalkan tidak berputus asa,” ujarnya.

Pekerja swasta, Yan Mohd. Foto MOHD ADZLAN, 19 JUN 2021.

Manakala seorang pekerja swasta, Yan Mohd, 27, tidak dapat menyembunyikan perasaan jemu apabila terpaksa bekerja dari rumah (WFH) dalam tempoh masa yang agak panjang.

Tambahnya, setiap individu sudah pasti berhadapan dengan cabaran dan tekanan berbeza setiap hari sepanjang pelaksanaan PKP.

“Sejak PKP, saya diarahkan oleh majikan untuk WFH tapi sejujurnya memang letih dari segi mental dan fizikal tanpa kita sedar kerana seharian hanya menghadap dinding sambil menyiapkan kerja.

“Sebenarnya WFH lagi penat dan sibuk berbanding berada di pejabat kerana apabila di pejabat habis kerja sahaja kita terus balik tapi di rumah ibarat kerja yang dilakukan semakin bertimbun,” katanya.

Jelas Yan, dia amat merindui kehidupan normal sebelum negara dilanda pandemik Covid-19 terutamanya kebebasan untuk bertemu kaum keluarga pada bila-bila masa sahaja.

“Saya harap tak lama lagi dapat lah kita semua menjalani kehidupan normal seperti dahulu walaupun rumah keluarga saya di Selangor tapi saya tak dapat nak rentas negeri untuk pulang.

“Tak sabar rasanya untuk kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini dan harap semua rakyat Malaysia dapat terima suntikan vaksin secepat mungkin dengan harapan apabila banyak rakyat dah divaksin jadi kita boleh merentas negeri dan sebagainya.

“Tapi sekarang keadaan memang sangat berbeza, kalau kita lihat keliling, peniaga-peniaga kecil pun sudah berkurangan akibat PKP ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast