KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga suspek yang terlibat dalam pergaduhan berpunca daripada kemalangan kereta di Jalan 1/1B, Taman Intan Baiduri dekat sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai , salah seorang suspek yang mencetuskan pergaduhan dilaporkan tidak berpuas hati dengan pemandu dua buah kenderaan yang terlibat kemalangan.

Namun menurut beliau, sebenarnya kemalangan itu berpunca daripada suspek..

Ketika pergaduhan melibat tiga pemandu kenderaan itu, muncul seorang lelaki yang merupakan pengadu cuba meleraikan pergaduhan sebelum diserang oleh empat lagi suspek lain.

Beh berkata, pengadu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka akibat diserang dengan sebatang besi.

“Setibanya pihak polis di tempat kejadian, kesemua lelaki tersebut telah melarikan diri namun salah seorang suspek yang dipercayai telah mencetuskan pergaduhan ini berjaya ditahan pihak polis.

“Susulan dari kejadian tersebut, pihak polis telah menjalankan operasi untuk mengesan suspek yang masih bebas dan berjaya menahan dua lagi lelaki India yang disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan ini,” katanya menerusi kenyataan.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 29 tahun.

Tambah Beh, dua daripada ketiga-tiga suspek yang berjaya ditahan setakat ini mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya lagi, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat.

Sehubungan itu, beliau menyeru menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini supaya tampil memberi keterangan.

Mereka juga boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

“Orang ramai juga dinasihati supaya mematuhi undang-undang. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang ingkar,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette