Penduduk melapah lembu yang selesai disembelih sempena Hari Raya Aidiladha tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Sungai Penchala, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan bekalan ternakan mencukupi untuk menampung permintaan sembelihan korban pada Aidiladha ini.

Timbalan Menteri   Pertanian dan Industri MakananII, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar stok bekalan lembu/kerbau tempatan bagi penyembelihan hari raya korban sehingga Mei 2021 adalah 33,650 ekor manakala bekalan lembu/kerbau yang diimport sehingga 31 Mei 2021 adalah 10,192 ekor.

Jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu/kerbau bagi tujuan korban adalah 43,842 ekor.

Manakala bagi kambing/bebiri, bekalan tempatan untuk penyembelihan hari raya korban sehingga Mei 2021 adalah 24,316 ekor manakala bekalan kambing/bebiri yang diimport dan bersedia untuk penyembelihan korban adalah sebanyak 8,857 ekor dan jumlah keseluruhan bekalan untuk kambing/bebiri bagi tujuan korban adalah 33,173 ekor.

Menurutnya, setelah mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, dianggarkan permintaan lembu/kerbau untuk korban adalah sebanyak 39,172 ekor dan kambing/bebiri sebanyak 21,949 ekor untuk tahun 2021.

”Berdasarkan anggaran bekalan ternakan daripada perangkaan Jabatan iaitu 43,842 ekor lembu/kerbau dan 33,173 ekor kambing/bebiri, adalah dijangka mencukupi untuk menampung permintaan sembelihan korban pada tahun ini sebanyak 39,172 ekor lembu/kerbau dan 21,949 ekor kambing/bebiri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, sebanyak 27 buah rumah sembelih Jabatan Perkhidmatan Veterinar di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi dan 10 daripada rumah sembelih berkenaan telah memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan daripada Australia.

Di samping itu, DVS telah mengeluarkan lesen kepada 35 buah rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban. – MalaysiaGazette