Gambar hiasan.

Saudara Pengarang,

Dalam kita melangkah ke minggu-minggu terakhir sebelum darurat tamat pada 1 Ogos 2021, banyak pendapat-pendapat yang berlegar dalam kalangan rakyat sama ada tamat atau sambung.

Majlis Raja-Raja dalam satu persidangan khas semalam juga telah menzahirkan pandangan bahawa tiada keperluan untuk darurat di sambung selepas 1 Ogos 2021.

Ketika permohonan pengisytiharan darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong pada bulan Oktober lalu, ramai ketika itu beranggapan bahawa darurat akan menguburkan demokrasi dan pentadbiran negara akan diambil alih oleh tentera dan sebagainya. Raja-Raja Melayu dilihat sebagai hero Malaya oleh netizen kerana telah menghentikan cubaan untuk mengisytiharkan darurat.

Namun apabila kes bertambah buruk, akhirnya atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, pengisytiharan darurat diperkenankan pada bulan Januari bertujuan bagi melawan Covid-19.

Pelaksanaan darurat ini telah dikritik hebat kerana rakyat tidak melihat apa kebaikan darurat kepada mereka. Darurat juga dikatakan telah gagal membendung penularan wabak Covid-19, sebaliknya kes meningkat naik dengan kadar kematian tinggi. Banyak yang mendesak parlimen dibuka untuk bersidang.

Tapi, bukankah kes meningkat kerana ketidakpatuhan rakyat pada SOP dan juga kehadiran varian baharu? Darurat atau tiada darurat, kes tetap akan meningkat. Parlimen bersidang atau tidak, ahli parlimen bebas mengkritik kerajaan, menyuarakan pandangan dan bekerja seperti biasa. Lagipun bila masa perdebatan parlimen di Malaysia ini berkualiti?

Pada pendapat saya ada tiga kebaikan darurat ini:

Pertama – Meningkatkan Kapasiti Kesihatan Awam Covid-19. Seperti mana yang kita diberitahu, Ordinan Darurat telah berjaya mengarahkan hospital swasta untuk mengambil pesakit Covid-19 pada harga kos, dan lebih banyak katil dan katil ICU dapat digunakan. Jika tiada Ordinan Darurat, kapasiti akan gagal dipertingkat dan mungkin lebih ramai yang akan mati?

Kedua- Elakkan pilihan raya. Darurat telah berjaya mengelakkan keperluan untuk 3 pilihan raya kecil dan 1 pilihan raya negeri. Apabila Darurat ditamatkan, pilihanraya perlu diadakan secepat mungkin. Apa yang terjadi ketika Pilihan Raya Sabah akan berulang dan ramai yang akan terkesan walaupun kadar vaksinasi sudah meningkat?

Ketiga – Darurat juga beri kestabilan politik. Sebelum Darurat tiap tiap minggu kita dengar ura-ura ada seorang pemimpin mahu jadi perdana menteri dan jatuhkan kerajaan. Asyik-asyik dipanggil sidang akhbar untuk menyatakan si polan si polan memberi sokangan dan majoriti yang kuat sudah berpihak kepada dia. Tetapi apabila parlimen bersidang, ternyata ada pemimpin itu masih tidak cukup nombor. Apabila ada darurat senyap sedikit cerita ini, tapi sekarang ini sudah mula berkicau kembali!

Tiga kebaikan darurat ini pada pendapat saya secara tidak langsung membantu kerajaan untuk fokus tangani Covid-19 dan menyelamatkan lebih ramai nyawa.

Adakah kerajaan ini gagal? Saya tidak fikir begitu kerana kalau kerajaan kita gagal – kes Covid-19  sudah mencapai tahap yang “gila” puluhan ribu sehari, duit gaji penjawat awam tak boleh dibayar berbulan bulan, eksport tak berjalan, pelabur tarik diri. Kerajaan ini telah meningkatkan program vaksinasi, yang sekarang ini telah melebihi 200 ribu dos sehari. Kalau kerajaan gagal, tak boleh laksanakan peningkatan vaksinasi begini, mungkin vaksinasi belum berjalan lagi!

Namun ini semua tidak penting.

Majlis Raja Raja telah menzahirkan pandangan mereka. Kepada Jawatankuasa Bebas yang akan menasihatkan sama ada untuk di sambung atau dihentikan darurat – fikir fikirkan secara bebas dan objektif, walaupun ada di antara anda di dalam jawatankuasa itu orang orang politik.

Mohd Hilmi Abdul Latiff
Sepang, Selangor