Pesara tentera, Suria Mohamad Hassan bersama keluarganya berjalan masuk ke kediaman sementaranya yang sebelum ini tinggal di bawah jambatan Jalan Loke Yew dan telah dipindahkan ke Flat Sri Johor, Jalan Jelawat, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 20 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengkaji semula kedudukan pesara tentera, Suria Mohamad Hassan yang tinggal di bawah jambatan sebelum ini, termasuk memberi bantuan tambahan kepada beliau.

Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Komander Azman Yusoh berkata, kini terpulang kepada Suria untuk memilih tempat tinggal yang sesuai berdasarkan kepada keperluan keluarganya.

“Buat masa sekarang ni, kita letakkan di sini (Dewan Serbaguna Flat Sri Johor) di bawah seliaan pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), dengan kerjasama DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk menempatkan veteran dan keluarga di kediaman seterusnya”, katanya hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika meninjau keadaan tujuh sekeluarga itu di Cheras.

Jelas Azman, pelbagai bantuan untuk membantu kelangsungan hidup telah disalurkan JHEV ATM kepada veteran anggota tentera itu sebelum ini.

Ia termasuk bantuan sara hidup, persekolahan, termasuk bagi anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi selain bantuan perubatan bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Selangor & Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Komandor Azman Bin Yusoh bergambar bersama pesara tentera, Suria Mohamad Hassan selepas menyampaikan sumbangan bantuan keperluan makanan ketika di Flat Sri Johor, Jalan Jelawat, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 20 JUN 2021.

Namun, tambah beliau, JHEV ATM tidak dimaklumkan mengenai situasi Suria yang berdepan kesempitan kewangan.

Jelas Azman, JHEV ATM akan terus memberi bantuan daripada pelbagai aspek termasuk aspek emosi, terutamanya kepada anak-anak yang masih kecil supaya tidak trauma dengan kehidupan yang dilalui sekarang.

“Buat masa sekarang, saya harap dengan perpindahan daripada bawah jambatan ke penempatan yang baharu ini, kita berharap veteran dan keluarga dapat melalui kehidupan yang lebih selesa dan dalam masa sama dapat mengambil iktibar di atas kejadian yang berlaku”, katanya.

Semalam, MalaysiaGazette mendedahkan kisah Suria yang tinggal bersama isteri dan lima anak di bawah jambatan Loke Yew sejak November 2019.

Pesara tentera itu dan keluarganya kemudian dipindahkan ke penempatan sementara di Dewan Orang Ramai di Flat Sri Johor, Cheras selepas berita mengenainya mendapat perhatian banyak pihak. – MalaysiaGazette

Pautan berkaitan :

https://malaysiagazette.com/2021/06/18/nasib-sedih-tujuh-beranak-tinggal-di-bawah-jambatan/