Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah clinical trials National Healthy Research Volunteer Register National Pharmaceutical Regulatory Agency NPRA
Dr. Noor Hisham Abdullah
KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 kes varian Beta dan lapan kes varian Delta dikesan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan dari 11 Jun hingga 19 Jun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tiga kes masing-masing dikesan di Selangor, Sabah, dan Terengganu.
“Sebanyak dua kes di Kedah, dan masing-masing satu kes di Perak, Johor, dan Kelantan.
“Bagi lapan kes baharu varian Delta masing-masing dua kes di Johor, Labuan, dan Negeri Sembilan.
Manakala masing-masing satu kes di Perlis dan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 183 kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI).
“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 167 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI,” katanya.
Daripada jumlah itu, 137 kes adalah varian Beta yang mana kesemua kes jangkitan tempatan.
“Sebanyak 21 kes varian Delta adalah kes jangkitan tempatan dan sembilan kes import serta sembilan kes pula adalah varian Alpha.
“Bagi kategori VOI pula, 12 kes adalah varian Theta, tiga kes varian Eta dan satu kes varian Kappa,” katanya.
Menurut Dr. Noor Hisham, pihaknya akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes.
“KKM juga akan melakukan langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.
“Masyarakat dinasihatkan untuk segera tampil mendaftarkan diri
dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok.
“Ini juga merupakan salah satu langkah bagi mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette