Rukun negara

DASAR pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh pihak penjajah semasa penjajahan British di Tanah Melayu dengan tujuan untuk memudahkan kawalan ke atas ketiga-tiga kaum pada ketika itu telah memberi satu impak yang begitu besar sama ada daripada segi sosio-ekonomi atau polarisasi ke atas negara kita sehingga ke hari ini.

Antara kesan negatif yang jelas memperlihatkan kegagalan dasar ini apabila berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 setelah Malaysia mengecapi
kemerdekaan yang ke-12. Pada 31 Ogos 1970, Rukunegara telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong IV dengan tujuan untuk membentuk perpaduan kaum dan keharmonian Malaysia. Demi menjaga kestabilan Malaysia, Rukunegara terbentuk kepada dua bahagian.

Bahagian pertama Rukun Negara menggariskan objektif masyarakat yang mahu dibentuk manakala bahagian kedua pula menggariskan lima prinsip Ruku Negara. Apabila bercakap mengenai Rukunegara, perkara pertama yang terlintas di minda adalah perpaduan dan semangat kekitaan. Berat tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dalam mewujudkan semangat perpaduan di negara yang berbilang kaum ini.

Kepelbagaian Malaysia sesuatu yang perlu diraikan. Keunikan ini harus boleh menambahkan keserian kepada kehidupan kita dengan saling bertoleransi, bertolak ansur dan saling mempelajari serta memahami. Wujudnya Ruku Negara ini adalah sebagai satu garis panduan untuk kita sebagai rakyat Malaysia kerana ia tidak menampakkan hak milik sesuatu kaum sahaja, maka tidak seharusnya dijadikan senjata perbezaan, kepelbagaian sehingga mencetus pelbagai konflik yang menghuru-harakan keharmonian negara.

Oleh itu, keharmonian dan kerukunan hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia merupakan tunjang kepada kestabilan dan kekuatan negara. Keharmonian ini hanya tercapai dengan wujudnya sifat saling faham memahami antara satu sama yang lain dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dengan tradisi, kebudayaan dan agama yang berbeza.

Ia merupakan satu keunikan kepada negara Malaysia. Namun begitu, keunikan ini boleh membawa kepada persengketaan sekiranya tidak dijaga dengan betul. Kian hari semangat Rukun Negara kian pudar terutama dalam kalangan golongan belia kerana tiada pendidikan khas yang diberikan di sekolah, institut atau mana-mana pusat pendidikan.

Jika dahulu kita mempunyai Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSV), yang mana pelajar di bangku sekolah mempunyai peluang untuk mempelajari serba sedikit ilmu kewarganegaraan dan memahami tanggungjawab sebagai individu pemegang kad pengenalan biru. Namun PSV ini hanya menjadi subjek sampingan di mana pelajar hanya berpeluang menuntut ilmu kenegaraan ini kurang daripada dua 2 jam seminggu.

Saya merupakan rakyat Malaysia yang bertuah kerana diberi peluang untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Sebagai bekas pelatih PLKN, saya diterapkan dengan pelbagai ilmu kenegaraan, semangat nasionalisme dan patriotisme dipupuk melalui PLKN. Namun bagaimana dengan pelajar lepasan SPM yang tidak berpeluang menyertai program-program sebegini? Di manakah peluang mereka untuk mempelajari ilmu-ilmu kenegaraan secara praktikal yang tiada dalam sistem pendidikan kita?

Kini, PLKN juga telah dimansuhkan pada tahun 2018. 36 nilai dalam mata pelajaran Pendidikan Moral SPM bidang satu – Perkembangan diri itu sendiri menekankan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dengan penerangan keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhan Tuhan berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara. Manakala bidang empat menekankan semangat patriotisme, Taat Kepada Raja dan Negara, bidang enam- Demokrasi, mematuhi peraturan dan undang-undang, bidang tujuh- keamanan dan keharmonian.

Bagi mereka yang bernasib baik seperti saya mungkin faham akan semangat cintakan negara, boleh menerangkannya, menjelaskannya, memberi tunjuk ajar kepada generasi seterusnya tentang prinsip-prinsip dan semangat cintakan tanah air kerana yakin nilai-nilai sebegini harus diterapkan sejak kecil. Didikan awal ibu bapa amat penting, maka ibu bapa harus mempunyai ilmu terlebih dahulu.

Namun pendidikan kita hanya memberi penekanan kepada mereka yang di bangku sekolah. Kita terlepas pandang kepentingan pendidikan untuk yang dewasa. Malaysia baru sahaja menikmati kemanisan kemerdekaan 64 tahun, warga-warga emas yang pernah melalui kepahitan peristiwa berdarah 13 Mei masih ada di sekeliling kita, nilai-nilai yang diberikan kepada generasi selepas mereka mungkin bukan sesuatu yang positif.

Usaha Kerajaan dalam mewujudukan pendidikan Rukunegara merupakan satu usaha murni dan harus disokong sewajarnya. Kepujian dalam mata pelajaran Sejarah SPM juga harus dipertimbangkan kerana ia hanya syarat namun tiada penghayatan daripada pelajar-pelajar.

Renung-renungkanlah sejauh mana keberkesanan kepada kita jika pendidikan ini hanya masih tertumpu dan penekanan hanya diberikan kepada yang di bangku sekolah sahaja.

Ng Chor Eng
Exco Majlis Belia Malaysia