Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan mengambil seramai 18,702 orang guru baharu melalui Pengambilan Khas Guru secara one-off dalam usaha menangani kekurangan tenaga pengajar yang berlarutan sejak sekian lama di negara ini.

Pengambilan guru secara besar-besaran ini juga adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara dan telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, iklan pengambilan guru bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada 7 Julai 2021.

“Jika kita lihat dalam cabaran membawa keluar negara daripada Covid-19 ialah adalah dalam sektor pendidikan. Dengan pengambilan ini kita dapat mengurangkan bebanan sekolah yang kekurangan guru-guru.

“Insya Allah dengan pengambilan baharu ini kita dapat mengatasi masalah pembelajaran dan pengajaran di waktu sukar ini dapat berlangsung dengan baik,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini terdapat empat buah negeri yang mengalami kekurangan guru yang agak kritikal iaitu Sarawak, Sabah, Selangor dan Johor.

Pengambilan ini akan memberi peluang kepada para graduan yang berminat dan berkelayakan untuk menjadi guru.

Radzi berkata, penempatan guru akan dibuat secara berperingkat-peringkat mulai Oktober 2021.

“Proses ini mudah, bukan seperti biasa yang mana pengambilan besar-besaran dan perlu diselesaikan dalam satu tempoh singkat untuk memastikan usaha ini menjadi kenyataan dan menyumbang kualiti pendidikan di negara,” tambah beliau.

Terdahulu, dalam sidang media itu, beliau berkata, program ini dilaksanakan atas persetujuan dan kerjasama rapat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan JPA yang membuka ruang untuk menyelesaikan isu bekalan guru ini.

Beliau menjelaskan, kekurangan guru ini berlaku di sekolah rendah dan sekolah menengah kerana kekurangan bekalan guru selepas 2016 satu keputusan dibuat untuk mengurangkan pengambilan guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG).

Masalah ini ditambah pula apabila guru hanya boleh mengajar dengan opsyen tertentu sahaja hanya boleh mengajar subjek tertentu sahaja atau boleh mengajar mata pelajaran berbeza dalam ruang lingkup yang sama.

Oleh itu, melalui pendekatan baharu pengambilan khas guru ini, KPM memperkenalkan Kluster Opsyen Mata Pelajaran supaya kelayakan bakal-bakal calon guru ini disusun berdasarkan kluster-kluster tertentu yang diperlukan.

KPM juga akan mempelbagaikan pelantikan yang mana ia dibuat berdasarkan pendekatan holistik berdasarkan keperluan semasa. – MalaysiaGazette