Lebih 10,000 penyokong tempatan Jepun bakal dibenarkan ke dalam stadium menonton setiap acara Sukan Olimpik Tokyo di sebalik amaran dari pakar kesihatan negara matahari terbit itu.- Gambar hiasan.

TOKYO – Lebih 10,000 penyokong tempatan Jepun bakal dibenarkan ke dalam stadium menonton setiap acara Sukan Olimpik Tokyo di sebalik amaran dari pakar kesihatan negara matahari terbit itu.

Penonton dari luar negara sudah dilarang masuk ke dalam negara itu tetapi penganjur berpandangan penyokong tempatan boleh berpotensi menyediakan kehadiran tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti sebenar setiap venu acara yang dipertandingkan nanti.

Para penyokong dilarang untuk menjerit atau bercakap kuat sepanjang temasya kali ini di stadium yang terlibat dan diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa.

Temasya Olimpik akan membuka tirai pada 23 Julai ini manakala Paralimpik sebulan kemudian iaitu 24 Ogos 2021.

Jumlah kehadiran penonton yang dibenarkan untuk sukan paralimpik akan disahkan pada 16 Julai ini,menurut kenyataan bersama Jawatankuasa Olimpik Antabangsa (IOC) Jepun dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, kerajaan metropolitan Tokyo dan kerajaan Jepun.

Keputusan membenarkan penonton tempatan hadir walaupun laporan minggu lalu oleh pakar perubatan Jepun menyatakan penganjuran Olimpik tanpa penonton adalah kurang membawa kepada risiko penularan Covid-19 di negara itu.

“Banyak kes dilaporkan secara domestik dan antarabangsa membabitkan acara sukan dengan kehadiran penonton kata Presiden Jawatankuasa Penganjur Tokyo, Seiko Hashimoto.

“Serata dunia berdepan masalah sama dan kita harus bersatu untuk menanganinya,” kata beliau.-MalaysiaGazette