TANGGAL 20 Jun menjadi hari penting kepada mereka yang bergelar bapa. Bukan sahaja Hari Ibu, bahkan Hari Bapa juga disambut sebagai tanda penghargaan bagi semua bapa yang memikul dan menggalas tanggungjawab membentuk keluarga bahagia dan harmoni. Pengorbanan yang diberikan tanpa mengharap sebarang pembalasan menjadi simbol kemurnian kasih sayang seorang bapa yang tidak pernah berbelah bahagi.
Bapa merupakan nadi pembentukan asas kepada keluarga bahagia. Pemupukan nilai keluarga bahagia lahir dari keterampilan bapa dalam mengemudikan sebuah keluarga. Keluarga bahagia adalah idaman semua dan ia melambangkan kehidupan setiap individu di dalam sebuah keluarga yang memiliki rasa senang di antara satu sama lain, penuh dengan emosi positif, gembira dan stabil dari pelbagai aspek merangkumi aspek mental, emosi, sosial, ekonomi, fizikal dan spiritual.
Gelaran Bapa yang sinonim sebagai tulang belakang keluarga menunjukkan betapa besarnya peranan sebagai pemimpin ahli keluarga dalam membentuk keluarga bahagia. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud “Kaum lelaki itu pemimpin dan pelindung kepada kaum wanita”.
Berdasarkan dalil ini jelas memperlihatkan bapa sebagai pemimpin utama keluarga. Peranannya dalam memimpin bahtera rumahtangga menjadi kayu ukur pembentukan keluarga bahagia. Bapa memiliki ciri ketegasan dalam memimpin isteri dan anak-anak. Kepimpinan yang diterjemahkan perlu menyentuh aspek keagamaan khususnya untuk melahirkan anak yang soleh dan terpelihara dari sebarang kebejatan sosial. Matlamat bapa sebagai pemimpin merupakan tanggungjawab besar dalam memastikan keluarga dapat membentuk akhlak yang baik, penerapan nilai agama yang bersepadu, pembudayaan ilmu dan bijak menangani apa jua masalah atau konflik yang berlaku dalam keluarga.
Penjanaan ekonomi keluarga yang stabil menjadi asas penting dalam memastikan keperluan keluarga mencukupi dan terjamin. Peranan bapa sebagai pencari nafkah menjadi tanggungjawab besar seorang bapa. Bapa menjadi “orang kuat” dalam institusi keluarga yang membanting tulang dalam memastikan sumber kewangan mencukupi untuk memenuhi perbelanjaan harian keluarga, menyediakan tempat tinggal yang selesa, memastikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak dan penyaraan kos kesihatan. Kesemua peranan ini menjadikan bapa seorang yang bijak dalam menguruskan sumber belanjawan ekonomi keluarga dan bukan sahaja berperanan sebagai penyalur pendapatan keluarga semata-mata.
Tanpa sumber kewangan yang kukuh, pembinaan keluarga bahagia akan terjejas dan keperluan anak-anak akan terabai sekali gus membawa kepada pelbagai permasalahan di kemudian hari. Selain itu, bapa juga menjadi pelindung kepada ahli keluarga. Hal ini bersesuaian dengan personaliti kelelakiannya yang memperlihatkan ciri-ciri ketegasan dan kekuatan. Bapa sentiasa memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan melindungi ahli keluarga dari sebarang bentuk ancaman dan bahaya.
Hal ini disebut dalam firman Allah SWT, Surah An-Nisa’ ayat 34 yang menyatakan bahawa kaum lelaki merupakan seorang pelindung. Kini, menerusi penggunaan teknologi canggih dan media sosial yang pesat adalah menjadi peranan penting bapa dalam melindungi dan mendidik anak-anak agar tidak mudah terjerumus dengan aktiviti yang tidak berfaedah, terpengaruh dengan budaya yang buruk dan tidak selamat di media sosial.
Dalam pada masa yang sama, bapa berperanan penting menjadi perancang masa hadapan keluarga. Bapa yang bijak sentiasa mempunyai visi dan misi yang jelas dalam menyediakan perancangan yang terbaik untuk anak-anak dan isteri. Perancangan masa hadapan inilah antara asas keluarga bahagia bagi memastikan setiap ahli dalam keluarga bergerak ke arah matlamat tersebut dengan jayanya. Ini kerana, pembinaan keluarga bahagia merupakan satu matlamat jangka panjang yang harus dirancang dengan baik. Oleh itu, setiap keperluan untuk memenuhi matlamat tersebut perlu dipraktikkan dari awal lagi untuk memastikan perancangan tersebut berjaya.
Misalnya, bapa juga berperanan untuk memastikan anak-anak mempunyai cita-cita dan pembangunan kerjaya yang baik pada masa hadapan. Justeru, menjadi tanggungjawab bapa untuk menyediakan keperluan-keperluan dari sudut pendidikan dan mendorong minat anak untuk berada dalam saluran yang betul bagi merealisasikan perancangan kerjaya tersebut.
Hari bapa juga dinilai dan dihargai susulan dari peranan bapa sebagai pelengkap kasih dalam institusi keluarga. Jika dilihat bapa menjadi sumber kasih sayang anak-anak dan isteri. Tubuh untuk mereka paut disaat dilanda beban emosi dan masalah. Walaupun seringkali masyarakat melihat ibu sebagai simbol kasih sayang, bapa juga tidak ketinggalan berperanan penting menjadi sumber pelengkap kasih dalam kebahagiaan keluarga. Sikapnya yang tegas, kadangkala lucu dalam usikan dan bergurau senda, serta bersifat pelindung menjadikan ahli keluarga berasa selamat dan bahagia di sampingnya.
Hakikatnya, insan yang bergelar bapa banyak berkorban dalam mencukupkan keperluan anak-anak sehingga membelakangkan keperluan dirinya. Hal ini dilakukan semata-mata untuk memastikan anak-anak terjamin dari segi keperluan makan minum, pakaian,
pendidikan dan kesejahteraan hidup. Dalam konteks ini, bapa dilihat banyak memberi dari menerima dalam memastikan kemaslahatan keluarga. Ini memperlihatkan pengorbanan seorang bapa yang banyak menabur bakti dan bantuan meskipun tidak dilihat secara nyata.
Di dalam hadis Riwayat Bukhari menyatakan Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa, “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka mulialah untuk orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah paling baik adalah daripada orang yang sudah cukup keperluan dirinya. Maka sesiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah SWT akan memeliharanya dan sesiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”.
Tuntasnya, bapa merupakan penjana sumber kebahagiaan keluarga. Pengorbanan yang dilakukan tidak mengenal erti penat jerih dan jemu. Mereka sanggup berkorban demi kebahagiaan keluarga. Tanpa mereka, keluarga hilang tempat bergantung dan sumber kekuatan. Kepimpinan yang diterajui dalam keluarga membentuk keluarga mawaddah dan bahagia di dunia dan akhirat. Hari bapa yang dianjurkan menjadi inspirasi bagi bapa-bapa untuk terus berbakti kepada keluarga dan memperbaiki diri untuk menjadi yang terbaik demi keluarga tercinta. Begitu juga anak dan isteri perlu menghargai nilai dan rintisan kasih seorang bapa dengan penuh rasa hormat, kepercayaan dan penghargaan kepada insan yang menjadi asas pelengkap kepada keluarga bahagia.
Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)