Inland Revenue Board IRB income tax taxation system Budget 2022
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Had maksimum transaksi bayaran cukai pendapatan menerusi kaedah Financial Process Exchange (FPX) akan dinaikkan berkuat kuasa serta-merta.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berkata, bagi transaksi B2B: Syarikat, had transaksi baharu ialah RM100 juta dan B2C: Selain Syarikat ialah RM500,000 berbanding RM30,000 sebelum ini.

Menurutnya, had transaksi baharu ini terpakai untuk pembayaran cukai pendapatan melalui medium ByrHASiL yang boleh diakses di portal rasmi LHDNM (www.hasil.gov.my) dan juga melalui perbankan Internet setiap bank yang dilantik sebagai ejen kutipan LHDNM.

Namun, had transaksi yang boleh dilakukan oleh pembayar cukai masih tertakluk kepada had pengeluaran maksimum yang telah ditetapkan oleh pihak bank kepada mereka.

Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran dalam membuat pembayaran cukai menggunakan had transaksi yang baharu ini, pembayar cukai adalah disarankan agar merujuk dan mendapatkan kelulusan had transaksi yang dibenarkan daripada bank masing-masing terlebih dahulu. – MalaysiaGazette