Mohd Rosni.

GEORGE TOWN – Seorang ibu tunggal berputih mata apabila duit simpanan serta wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk persaraannya berjumlah RM927,400 ‘lesap’ akibat menjadi mangsa penipuan ‘Love Scam’.

Mangsa berusia 58 tahun yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta itu dikatakan terjerat dengan penipuan tersebut selepas berkenalan seorang lelaki yang mengaku kononnya tinggal di Amerika Syarikat melalui aplikasi media sosial, Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, susulan perkenalan itu mangsa bertukar nombor telefon dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘William Schang’.

“Dalam tempoh berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta secara maya suspek meminta pinjaman wang daripada mangsa susulan mendakwa mempunyai masalah kewangan.

“Sepanjang tempoh perkenalan selama setahun 10 bulan, mangsa diminta membuat bayaran ke dalam lima akaun pemilik tempatan kononnya bagi membiayai urusan perniagaan gali petrol (penggerudian petroleum) milik suspek di Amerika Syarikat.

“Mangsa melakukan 50 transaksi sejak 9 April 2019 hingga Februari lalu membabitkan wang berjumlah RM927,400,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Mohd Rosni, mangsa tersedar dirinya menjadi mangsa penipuan setelah suspek gagal dihubungi setelah memasukkan kesemua wang tersebut.

Kata beliau, susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam.

“Hasil siasatan awal pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan keldai akaun untuk setiap transaksi malah semakan mendapati empat daripada lima nombor akaun itu mempunyai laporan bersangkut di beberapa negeri lain.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rosni menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan hubungan percintaan di platform media sosial.

“Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis serta pujuk rayu orang yang tidak dikenali dan seterusnya memberikan bantuan kewangan tanpa usul periksa.

“Selain itu, orang ramai juga boleh membuat semakan nombor akaun yang diberikan menerusi https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan,” kata Mohd Rosni. – MalaysiaGazette