KUALA LUMPUR – Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bersama subkontrator yang menajdi majikan kepada pekerja yang maut dalam tragedi di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) kelmarin akan dipastikan menyelesaikan urusan penghantaran pulang jenazah.
Pemaju bagi projek DASH, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn. Bhd. berkata, segala urusan berkaitan kebajikan mangsa kejadian perancah besi jatuh di tapak pembinaan itu akan diberi keutamaan dan perhatian sepenuhnya.
Seorang daripada dua pekerja pembinaan yang dihempap konkrit runtuh di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Kota Damansara pada Sabtu lalu, meninggal dunia semalam.
Mangsa yang berumur 53 tahun telah meninggal dunia di Hospital Sg Buloh akibat kecederaan dalaman yang serius serta cedera di kepala dan tangan kiri.
Menurut pemaju lebuh raya itu, seorang lagi pekerja yang cedera kini masih diberikan rawatan dan dalam keadaan stabil.
”Pihak kami akan sentiasa memantau kebajikan pekerja yang terlibat akan dijaga,” katanya dalam kenyatan hari ini. – MalaysiaGazette