Muhammad Izzrul Zaim Che Hat sukarelawan muda Ihsan Johor bertugas membantu orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dekat Dewan Jubli Intan di sini

JOHOR BAHRU – Ketika remaja lain sibuk mencari kerja untuk mendapatkan wang, selain menghabiskan masa bersama gajet, Muhammad Izzrul Zaim Che Hat, 19, pula banyak menghabiskan masanya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sejak menyertai sukarelawan Ihsan Johor.

Mesra dengan panggilan Zaim, remaja ini adakalanya keluar seawal 6 pagi dari Kulai untuk ke bandar raya Johor Bahru semata-mata untuk memberi khidmatnya sehabis baik sebagai sukarelawan di PPV Dewan Jubli Intan tiga hari lalu.

Zaim berkata,  dia berpuas hati dan berbangga kerana dapat menyumbang tenaga untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Saya suka kerana  dapat bantu orang ramai. Saya rasa bahagia.

“Bagi saya dapat bantu orang pun rezeki, mungkin ini rezeki saya walaupun bukan dengan wang.

“Sekurang-kurangnya saya dapat banggakan ayah, walaupun saya tiada ibu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli  Intan pagi tadi.

Tugasnya di PPV adalah membantu pendaftaran penerima vaksin, selain menolong penerima melakukan pemeriksaan tekanan darah sebelum mereka mendapatkan vaksin.

Walaupun ada rakan-rakan yang mentertawakannya namun ia tidak bersisa bagi Zaim.

Sebaliknya, Zaim komited untuk menjadi seorang sukarelawan yang sentiasa berbakti kepada masyarakat.

“Tak kisah lah orang nak cakap apa-ada. Ada kawan kata, apalah kau ni join NGO, bukan ada gaji pun,” tambah beliau

Zaim  bercadang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pembantu perubatan satu masa nanti supaya dapat terus membantu lebih ramai insan yang memerlukan pertolongannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor Farrah Faridah berkata, di Johor sahaja lebih 50 ahli berdaftar bersama Ihsan Johor, dengan tidak kurang 10 daripada jumlah itu adalah remaja.

Setakat ini, Ihsan Johor membahagi-bahagikan kumpulan sukarelawannya untuk menjaga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 ( PKRC ) di Pasir Gudang dan selebihnya ditugaskan di Pusat Pemberian Vaksin (PP) Dewan Jubli Intan di Johor Bahru.- MalaysiaGazette