KDN akan tingkatkan pemeriksaan ke atas kilang-kilang yang beroperasui tanpa surat kebenaran.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensi penguatkuasaannya akan melakukan pemeriksaan dan serbuan ke atas kilang yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Tindakan tegas seperti kompaun termasuk arahan menutuo premis serta merta akan dikenakan sekiranya mendapati wujud kecuaian pelanggaran SOP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan berkompromi lagi terhadap kilang terbabit dan bertindak berdasarkan aduan.

Ismail Sabri Yaakob

“Sejak akhir-akhir ini, kerajaan menerima banyak aduan melibatkan sektor perkilangan yang didakwa menyalahgunakan surat kebenaran untuk menjalankan operasi melibatkan perkhidmatan bukan perlu sepanjang tempoh pelaksanaan PKP menyeluruh ini.

“Mengikut maklumat, terdapat kilang-kilang dikesan melanggar SOP apabila beroperasi melebihi kapasiti 60 peratus pekerja, malah ada antara mereka yang memakai gelang kuarantin tetap diarahkan datang bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Ismail Sabri, memandangkan ia perkara serius, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk memberikan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang ini kepada KDN.

Menurut beliau, KDN akan menyeleraskan operasi dengan semua agensi penguatkuasaannya di seluruh negara untuk membuat pemeriksaan dan serbuan serta mengambil tindakan tegas terhadap kilang terbabit.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, seramai 825 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dalam Task Force Operasi Pematuhan di seluruh negara, semalam.

Kata beliau, daripada jumlah itu, seramai 810 individu dikenakan kompaun, manakala 15 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal seramai 217 individu, rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (151), tidak memakai pelitup muka (137).

Gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis seramai 113 individu, tidak patuh arahan kawalan pergerakan (94), membawa penumpang berlebihan (45), aktiviti pusat hiburan (26), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (30).

Mengenai kawalan sempedan negara, katanya, Operasi Benteng semalam telah menangkap 17 pendatang asing tanpa izin dan merampas lima kenderaan darat serta sebuah bot/kapal.

Dalam operasi itu juga, kata beliau, sebanyak 171 bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan. – MalaysiaGazette