Perancah besi atau ‘scaffolding’ jatuh di dalam kawasan tapak pembinaan lebuh raya DASH berhampiran Kota Damansara hingga menyebabkan kematian seorang pekerja.

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memastikan kerja-kerja pembinaan oleh Syarikat Konsesi Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn. Bhd. (PLDSASB) tidak diteruskan seperti yang diarahkan.

Kerja-kerja yang melibatkan perancah bagi struktur sementara di 10 lokasi termasuk lokasi kemalangan hanya akan diteruskan sehingga kerajaan berpuas hati dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil.

Dalam masa yang sama, perbincangan dan lawatan tapak bersama-sama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Syarikat PLDSASB, Jurutera Perunding (Zaidun Leeng Sdn. Bhd (ZLSB)), Jurutera Perunding Bebas (Ranhill Bersekutu Sdn. Bhd. (RBSB)) dan Kontraktor Utama (Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB)) telah diadakan pada 19, 20 dan 21 Jun 2021.

LLM juga telah mengarahkan Syarikat PLDSASB, ZLSB dan RBSB untuk melaksanakan penilaian dan pemeriksaan lanjut berhubung dengan kejadian tersebut.

Antara lain termasuk pematuhan ke atas rekabentuk perancah yang diguna pakai merangkumi faktor keselamatan, tatacara kerja, keperluan prosedur dan dokumentasi yang dilaksanakan, pengawasan di tapak dan lain-lain aspek kemungkinan insiden merangkumi jentera, bahan binaan, keadaan tapak, struktur sedia ada dan faktor persekitaran.

Selain itu, sebagai langkah penambahbaikan supaya risiko kemalangan dapat dielakkan, LLM telah berbincang dengan Syarikat Konsesi dan Juruperunding termasuk Lembaga Jurutera Malaysia, JKKP dan Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bagi mengkaji penambahbaikan melibatkan kerja-kerja pembinaan lebuh raya baharu.

LLM juga merakamkan penghargaan kepada PLDSASB kerana membantu mengurangkan kesulitan terhadap keluarga mangsa yang terlibat termasuk akan menguruskan penghantaran balik jenazah dan sumbangan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Dalam kejadian pada 7.15 malam kelmarin, dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan 40-an cedera selepas perancah besi runtuh di tapak pembinaan DASH.

Bagaimanapun, seorang daripada dua pekerja pembinaan yang dihempap konkrit runtuh di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Kota Damansara, di sini, meninggal dunia, pada Ahad kerana mengalami cedera dalaman. – MalaysiaGazette