Noh Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar sependapat dengan Yang di-Pertua Dewan Negara bahawa tidak berlaku krisis Perlembagaan Persekutuan sekarang ini.

Beliau berpandangan, kuasa Perdana Menteri di bawah Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan telah diperturunkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat 2021.

Ini bermakna Kabinet telah bersetuju memberikan kuasa kepada baginda untuk memanggil persidangan Parlimen tanpa mendapat nasihat daripada Perdana Menteri seperti yang didakwa kononnya Artikel 40 masih berkuatkuasa.

“Bagi pendapat saya apabila Kabinet telah memberi kuasa kepada YDPA maka Artikel 40 tidak terguna pakai sehingga tamat darurat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Noh berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah mendapat nasihat dari pelbagai pihak dan sekiranya Artikel 40 masih berkuatkuasa sudah tentu baginda akan mengikut keputusan Perdana Menteri untuk mengadakan persidangan Parlimen pada  September seperti yang dinyatakan dalam pelan pemulihansehari sebelum raja-raja bersidang.

Beliau turut menarik perhatian mengenai senario semasa krisis perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad di mana baginda telah memanggil semua ahli Parlimen menghadap untuk mengetahui ahli Dewan Rakyat mana yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

Setelah semua 222 Ahli Parlimen dipanggil akhirnya tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat mendapat majoriti.

“Sepatutnya pada Ketika itu YDPA boleh membubarkan dewan rakyat, tetapi YDPA merujuk kepada raja-raja yang akhirnya menasihatkan untuk menubuhkan kerajaan baru. Maka lahirlah kerajaan Perikatan Nasional. Mengapa ketika masa itu kita boleh akur dan menjunjung titah YDPA?

“Begitu juga apabila YDPA pernah menolak pandangan Jemaah Menteri untuk melaksanakan darurat pada tahun lalu. Pada masa itu tidak pula timbul issue krisis Perlembagaan,” katanya.

Noh menegaskan pendiriannya bahawa Parlimen boleh bersidang walaupun dalam waktu darurat dan jika ada usul undi tidak percaya terhadap kerajaan hari ini sudah tentu beliau juga tidak akan menyokongnya.

Menurut beliau, Parlimen haruslah bersidang bukan kerana kepentingan politik tetapi atas kepentingan rakyat dalam membantu kerajaan menyelamatkan negara dari serangan musuh yang kita tidak nampak (corona virus) dan krisis ekonomi.

“Oleh itu, ebagai peguam bagi saya undang-undang ini is the matter of interpretation dan saya bersetuju dengan tafsiran Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang merupakan seorang tokoh politik yang berpengalaman dan mempunyai ijazah kedoktoran PHD dalam bidang perundangan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah di atas ketegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan mendesak kerajaan mengadakan persidangan Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Desakan itu membuktikan membuktikan UMNO sentiasa menjunjung dan mempertahankan kedaulatan raja-raja. – MalaysiaGazette