Antonio Guterres . foto Agensi

NEW YORK – Lebih daripada 8,500 kanak-kanak digunakan sebagai askar tahun lalu dalam pelbagai konflik di seluruh dunia dan hampir 2,700 yang lain terbunuh, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan tahunan Ketua PBB Antonio Guterres kepada Majlis Keselamatan mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata itu merangkumi pembunuhan, pencabulan dan penderaan seksual kanak-kanak, penculikan atau pengambilan, penolakan akses bantuan dan sasaran sekolah dan hospital.

Laporan tersebut mengesahkan bahawa pelanggaran telah dilakukan terhadap 19, 379 kanak-kanak dalam 21 konflik.

Pelanggaran paling banyak pada tahun 2020 dilakukan di Somalia, Republik Demokratik Congo, Afghanistan, Syria dan Yaman, sekali gus mengesahkan bahawa 8,521 kanak-kanak telah digunakan sebagai tentera tahun lalu, sementara 2,674 kanak-kanak lain terbunuh dan 5,748 cedera dalam pelbagai konflik.

Laporan itu juga melibatkan senarai hitam yang bertujuan memalukan pihak yang terlibat dalam konflik dengan harapan mendorong mereka melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi anak-anak.

Senarai itu telah lama menjadi kontroversi dengan para diplomat yang mengatakan Arab Saudi dan Israel sama-sama memberikan tekanan dalam beberapa tahun kebelakangan dalam usaha untuk tidak memasukkan mereka dalam senarai.

Israel tidak pernah disenaraikan, sementara gabungan ketenteraan yang dipimpin Arab Saudi dikeluarkan dari senarai pada tahun 2020 selepas dimalukan kerana membunuh dan mencederakan kanak-kanak di Yaman.

Dalam usaha meredakan kontroversi melibatkan laporan tersebut, senarai hitam yang dikeluarkan pada tahun 2017 oleh Guterres dibahagikan kepada dua kategori.

Yang satu menyenaraikan pihak-pihak yang telah membuat langkah-langkah untuk melindungi anak-anak dan yang lain termasuk pihak-pihak yang belum berbuat demikian.

Terdapat beberapa perubahan ketara pada senarai yang dikeluarkan pada hari Isnin.

Satu-satunya pihak negara yang tidak melakukan tindakan tersebut adalah tentera Myanmar – untuk pembunuhan, pencabulan dan kekerasan seksual terhadap kanak-kanak – dan pasukan pemerintah Syria – untuk merekrut anak-anak, pembunuhan, pencabulan dan kekerasan seksual terhadap kanak-kanak dan serangan terhadap sekolah dan hospital. – MalaysiaGazette