KUALA LUMPUR – “Memang style Menteri Kewangan ini kena kita desak secara berterusan, barulah dia bagi sikit-sikit.”
Itu sindiran Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Ia ekoran kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan kelulusan moratorium secara automatik akan diberikan kepada peminjam yang layak baru-baru ini.
Namun menurut Asyraf Wajdi, pihaknya MNO, kami bukan sahaja minta kerajaan pertimbangkan moratorium automatik kepada para peniaga yang terjejas akibat tidak berniaga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pihaknya mahu dua perkara utama iaitu moratorium automatik secara pukal untuk semua kategori termasuk B40, M40 dan Pengusaha Kecil dan Sederhana.
Selain itu moratorium tanpa caj atau faedah tambahan yang sifatnya compounded dan amat membebankan rakyat.
“Tolonglah rakyat yang sedang menderita, tertekan dan amat memerlukan bantuan ini! Kami hampir setiap hari menerima beratus aduan dan maklumbalas perihal pengalaman masing-masing berurusan dengan bank-bank,” tulisnya di media sosialnya hari ini.
Asyraf Wajdi dalam ruangan komen juga mengingatkan kerajaan bagaimana rakyat membantu bank-bank semasa menghadapi krisis kewangan tahun 1997.
“Waktu bank-bank hadapi krisis kewangan sehingga hampir muflis/bankrup tahun 1997, wang rakyat juga digunakan kerajaan untuk bail out dengan cara memindahkan NPL (aset2 bank yang bermasalah -non-performing loans) kepada Danaharta dan danamodal.
“Sekarang bila rakyat pula susah, bank-bank pula pula patut berkorbanlah sedikit (bukan rugi pun hanya kurang untung) untuk bantu rakyat yang susah dan terdesak dalam keadaan krisis yang amat luar biasa dan tak pernah berlaku sebelum ini,” tulisnya lagi.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan jamin kelulusan moratorium automatik kepada yang layak