Dr. Adham baba

KUALA LUMPUR – Laporan berita mengenai rancangan kerajaan membeli 500 ambulans yang mempunyai sistem tekanan negatif disalah tafsirkan segelintir pihak

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, Datuk Ser Dr Adham Baba tidak menyebut kesemua ambulans yang bakal dibeli akan bercirikan sistem berkenaan.

“Sebenarnya YB Menteri Kesihatan menyatakan dalam sidang media, ‘Kita akan mulakan tender 500 ambulans ini dan bagi ambulans lain kita akan gunakan sistem ‘leasing’ mengikut zon agar isu logistik pesakit Covid-19 di mana-mana jua dapat diatasi.

“YB Menteri Kesihatan berkata demikian ketika majlis penyerahan ‘Negative Pressure Ambulance’ bagi membawa pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS pada 19 Jun 2021.

“Dalam kenyataan tersebut tidak disebut kesemua 500 ambulans itu bercirikan ‘Negative Pressure Ambulance’ sebagaimana yang disalahfahami dan dilapor oleh pihak tertentu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempersoalkan kewajaran pembelian 500 buah ambulans yang mempunyai sistem tekanan negatif bagi membawa pesakit Covid-19.

Zulkefly yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan itu turut mempersoalkan sama ada keputusan pembelian ambulans yang akan menelan kos RM300 juta telah dipersetujui di peringkat Kabinet.

Selain menyifatkan ia merupakan satu pembaziran, beliau turut menggesa Adham menjelaskan sama ada keputusan itu dipersetujui di peringkat Kabinet.

Menurut Mohd Shafiq, Kementerian Kesihatan melihat keperluan ciri-ciri ‘Negative Pressure Ambulance’ untuk melawan pandemik Covid-19 pada masa ini dan hadapan.

Tambah beliau, sistem berkenaan mempunyai penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit terutamanya jenis penyakit bawaan udara.

Katanya, pada 17 Jun lalu, Kementerian Kesihatan mengiklankan tawaran tender untuk perolehan 490 jenis ambulans bersama kelengkapan peralatan perubatan bagi kegunaan hospital dan klinik di seluruh negara. – MalaysiaGazette