Sebanyak 21 lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti di negara ini membabitkan tempat kerja, komuniti, dan kumpulan berisiko tinggi.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikesan polis melibatkan kilang dan majikan di sekitar daerah Sentul sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuhi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil pemeriksaan pasukan pemantau pematuhan SOP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ke atas 10 buah kilang setiap hari sejak minggu lalu mendapati semuanya terkawal dan tiada sebarang kesalahan mengingkari SOP.

Polis juga tidak menerima sebarang masalah daripada pengusaha perindustrian mengenai pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam mengekang penularan Covid-19.

“Polis telah menjalankan pemeriksaan SOP di seluruh kilang perindustrian antaranya Sri Segambut, Kepong dan sebagainya di sekitar daerah ini dan tiada kompaun dikenakan kerana tiada kesalahan yang dikesan.

“Semua pengusaha kilang memang mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu pematuhan 60 peratus tenaga kerja, pengimbasan kod QR MySejahtera, waktu operasi mengikut jadual yang digariskan oleh kerajaan.

“Justeru, polis Sentul juga tidak menerima sebarang sebarang aduan awam berkenaan kesalahan SOP membabitkan kilang di kawasan mereka di daerah ini,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan ke atas kilang di Sri Segambut, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai memeriksa dokumen ketika meninjau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Perintah (PKP) 3.0 di sebuah kilang membekal peralatan jentera berat di Segambut, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2021.

Tambah beliau, kesemua kilang berkenaan beroperasi dengan kebenaran surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta jumlah pekerja yang disyaratkan dalam SOP itu.

Eng Lai berkata, operasi pemantauan pematuhan SOP PKP ke atas kilang-kilang perindustrian di daerah itu akan terus dilaksanakan secara konsisten. – MalaysiaGazette