Suspek dibawa ke Mahkamah Balik Pulau hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

BALIK PULAU – Seorang lelaki direman lima hari bagi membantu siasatan memberi minuman keras kepada bayinya selepas video kejadian itu tersebar laman sosial media semalam.

Perintah reman terhadap suspek berusia 19 tahun itu dikeluarkan Majistret Khalijah Mohd Khalid di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini hari ini.

Suspek dibawa ke Mahkamah Balik Pulau hari ini.

Suspek yang juga pekerja sambilan di sebuah kedai runcit itu direman lima hari sehingga 27 Jun ini bagi membantu siasatan polis.

MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang lelaki bertindak memberikan minuman keras kepada anaknya berjaya ditahan di kawasan Teluk Bahang di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, polis menahan suspek berusia 19 tahun itu pada jam 1.30 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Mac lalu di rumah sewa suspek di Kampung Telok Awak, Teluk Bahang.

“Hasil soal siasat mendapati video berkenaan dipercayai dirakam rakan suspek dan ketika itu bayi lelaki tersebut baru berusia lima bulan.

Kamarul Rizal menunjukkan tangkap layar suspek memberikan arak kepada bayinya yang tular di media sosial semalam.

“Semakan lanjut juga mendapati, suspek mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan masih dalam tempoh pengawasan pihak polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Tambah beliau, mangsa yang kini berusia sembilan bulan berada dalam keadaan sihat namun dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Polis tahan suspek beri minuman keras kepada bayi sendiri