Kereta MPV Polis (bulatan biru) mengejar kereta dinaiki suspek (bulatan merah) yang melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Penaga di sini semalam.

KEPALA BATAS – Cemas kerana bawa dadah, dua lelaki bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian di Jalan Bakau Tua, Penaga di sini semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) berjaya memintas kereta jenis Proton Saga di Jalan Kota Aur di sini.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku jam 2.30 petang ketika anggota MPV melakukan rondaan cegah jenayah di Zon 3 di sini sebelum mengarahkan suspek memberhentikan kereta susulan berada dalam keadaan mencurigakan.

Noorzainy.

Jelas beliau, dua lelaki yang menaiki kereta itu tidak mempedulikan arahan pihak polis sebelum memecut laju kenderaan dari Jalan Bakau Tua.

Kata Noorzainy, anggota MPV berkenaan mendapatkan bantuan daripada tiga buah MPV lagi sebelum kereta tersebut berjaya dipintas di Jalan Kota Aur iaitu kira-kira lima kilometer daripada lokasi mereka diarahkan berhenti untuk pemeriksaan polis.

“Bagaimanapun, sebaik menahan kereta tersebut kita hanya menahan seorang lelaki manakala rakannya telah melarikan diri.

“Susulan itu, pemeriksaan ke atas suspek berusia 47 tahun itu membawa kepada penemuan dua tiub penyedut minuman berisi dadah jenis heroin dan syabu.

“Selain itu, semakan lanjut juga mendapati suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Noorzainy, hasil pemeriksaan awal  air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan manakala kereta miliknya yang digunakan ketika itu turut disita.

“Indentiti suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan,” ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 17 saat menunjukkan kereta MPV Polis mengejar sebuah kereta jenis Proton Saga di kawasan Penaga. – MalaysiaGazette