Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Seminar Pemindahan Teknologi MPOB (Webinar TOT 2021) secara dalam talian pada 1 Julai 2021.

Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB akan memperkenalkan empat teknologi baharu yang merangkumi inovasi perlindungan tanaman, penggunaan biojisim sawit dan kejenteraan ladang.

Teknologi-teknologi baharu yang diperkenalkan menggalakkan penggunaan inovasi dan teknik-teknik baharu yang mesra alam bagi peningkatan produktiviti tanaman sawit.

MPOB menawarkan teknologi dalam industri sawit yang mempunyai potensi dan nilai pengkomersialan untuk dimanfaatkan oleh penggiat industri dan usahawan tempatan.

Kata beliau, teknologi-teknologi yang dibangunkan MPOB dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja di ladang sawit, menjimatkan kos dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

”Teknologi hasil penyelidikan MPOB berjaya meningkatkan kecekapan industri sawit dan membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan,” tambah beliau.

Seminar TOT dianjurkan pada setiap tahun dan TOT 2021 diadakan secara dalam talian mengikut amalan norma baharu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

Webinar TOT 2021 bertujuan untuk menghebahkan hasil penyelidikan MPOB dan pengkomersialan teknologi kepada para usahawan tempatan dan pihak yang berminat dalam meneroka peluang perniagaan berasaskan teknologi dalam industri sawit.

Dr. Ahmad Parveez berkata, penganjuran TOT 2021 akan memberi peluang perniagaan kepada usahawan industri kecil sederhana melalui pengkomersialan teknologi yang ditawarkan oleh MPOB.

Menurutnya, TOT 2021 turut menyedia jaringan hubungan antara MPOB dengan komuniti perniagaan, ahli agronomi, golongan profesional dalam bidang kejuruteraan, penyelidik, ahli teknologi makanan, ahli kimia, pengilang dan pengeluar serta pihak yang terlibat dengan industri sawit. – MalaysiaGazette