Penduduk berkerusi roda melintasi kawat duri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 18 Jun sehingga 1 Julai 2021 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Penduduk Perumahan Awam (PA) Desa Rejang yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh menarik nafas lega apabila mereka dibenarkan membuat pesanan makanan dan barang keperluan secara dalam talian bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitenden Ashari Abu Samah bagaimanapun berkata, kebenaran itu hanya terhad kepada tiga jam sehari untuk satu sesi sahaja.

“Pada hari ini kita sudah benarkan untuk mereka ini membuat pesanan makanan dan apa juga keperluan melalui dalam talian, mereka boleh hantar tetapi kita hadkan masa.

“Bagi memastikan keadaan terkawal, penduduk kena patuh kepada SOP tertentu, kita telah tetapkan bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang sahaja.

“Selepas itu kita tidak akan terima lagi, ini untuk memudahkan mereka dan penghantar-penghantar ini akan tunggu di pusat pemeriksaan 1 dan bertemu dengan petugas di sana,” katanya kepada MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 12,000 penduduk PA Desa Rejang mengeluh dan merintih susulan kesukaran untuk mendapatkan barang keperluan khususnya barang basah.

Mereka juga tidak dibenarkan membuat pesanan makanan dan barang keperluan dari luar menggunakan perkhidmatan penghantar makanan sejak 18 Jun hingga semalam.

Dalam pada itu, Ashari juga menegaskan, walaupun penduduk terbabit diberi kelonggaran itu, namun setiap barang mahupun makanan perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada pelanggan.

“Semua barang ini akan diperiksa oleh pihak berkuasa kerana kita bimbang ada barang-barang yang terlarang ini dihantar sekali.

“Ini kerana kita pernah jumpa kes seperti ini, kita tidak menuduh, tetapi berdasarkan pengalaman kita, kita pernah jumpa benda-benda ini,” jelasnya.

Bagi memudahkan penduduk mendapatkan barang basah pula, pihaknya juga membenarkan dua kedai runcit di dalam kawasan PA Desa Rejang itu beroperasi sejak semalam dengan SOP yang ketat.

“Kita mendengar rungutan mereka ini dan kita cuba atasinya dan setelah kita berbincang, fasa pertama kita sudah selesai, kita buat keputusan dengan membenarkan kedai-kedai runcit yang berada di blok-blok berkenaan dibuka.

“Kita ada enam kedai runcit, tetapi hanya dua kedai sahaja yang bersetuju dan rela untuk memulakan perniagaan, itupun selepas menjalani ujian saringan, apabila keputusan negatif, baru kita benarkan dan perlu melalui SOP ketat,” kataya.

Tambah beliau, pihaknya akan memastikan pemilik kedai runcit tidak berurusan secara terus dengan penduduk di situ kerana mereka bukan penduduk Desa Rejang.

“Kita tidak benarkan terlalu ramai masuk kedai ini, kita sudah beritahu kepada peniaga ini dan mereka kena ikut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette