PUTRAJAYA – Perkhidmatan teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi antara daerah dan negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun lalu.

Operasi itu hanya bertujuan untuk membawa penumpang yang mempunyai kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), perkhidmatan teksi dan e-hailing di Semenanjung Malaysia telah diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu (essential services) sepanjang tempoh PKP.

Katanya, pemandu teksi boleh mendapatkan surat kelulusan melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di bawah seliaan MOT, https://application.mot.gov.my .

Manakala untuk pemandu kenderaan e-hailing, surat kelulusan  dikeluarkan oleh pengendali atau operator syarikat masing-masing.

“Para penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing untuk perjalanan antara negeri atau daerah perlu mendapatkan kebenaran pergerakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Walaubagaimanapun, bagi negeri Sabah dan Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana kedua-dua negeri dibenarkan untuk mencadangkan SOP mengikut keperluan negeri masing-masing serta mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah Kesihatan.

“Terdapat perbezaan SOP tertentu di negeri Sabah dan Sarawak berbanding SOP yang dipraktikkan di seluruh negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, ia selari dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) Pindaan 2021 yang berkuatkuasa 22 Jun 2021: Peruntukan khas berhubung dengan kawalan pergerakan di dalam Negeri SabaH 14A. 

Bagaimanapun kawalan pergerakan, langkah, dan apa-apa syarat bagi kawalan pergerakan dan langkah itu, bagi maksud untuk mencegah dan mengawal merebaknya virus ini dalam Negeri Sabah, hendaklah sebagaimana yang diarahkan oleh Ketua Pengarah, ujarnya.

Susulan pindaan tersebut, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid19 Sabah memberikan kebenaran rentas daerah meliputi Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang kepada perkhidmatan e-hailing dan teksi berdaftar dengan e-hailing mengikut SOP MKN tanpa memerlukan surat kebenaran rentas daerah daripada polis yang berkuatkuasa 23 Jun 2021.

Dalam masa sama, menurut kenyataan itu, semua operator dan penyedia perkhidmatan pengangkutan awam di Sabah serta Sarawak diingatkan supaya mematuhi SOP khusus yang berkaitan dengan negeri masing-masing.

“Ini merujuk kepada laporan pemandu e-hailing di Sabah yang telah dikenakan notis kompaun pada 12 Jun 2021 lalu kerana cuba membawa pekerja sektor perlu di dua sempadan daerah.

“SOP yang ditetapkan adalah bertujuan mengekang dan mencegah penularan wabak COVID-19 di seluruh negara serta dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette