Gambar hiasan

PETALING JAYA : Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) telah membangunkan aplikasi Idenfic yang mempunyai fungsi mengenal pasti dan melaporkan akaun bank yang tidak selamat dan berunsur penipuan.

Aplikasi itu dibangunkan selepas MTPN menerima terlalu banyak aduan mengenai penipuan dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Ahli Majlis MTPN,  Tan Chaw Xian berkata, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu membenarkan pengguna memuat naik laporan polis.

Selepas laporan disaring oleh pasukan penyemak dalam tempoh 24 jam, akaun bank yang dilaporkan akan disenaraikan untuk mengingatkan pengguna lain supaya berwaspada ketika mahu berurusan dengan akaun itu.

Chaw Xian memberitahu Sinchew Daily, laporan polis diperlukan semasa membuat aduan bagi mengelakkan pihak tertentu menyalah guna aplikasi itu untuk tujuan menganiaya orang lain.

Katanya, Idenfic dapat membantu mengatasi kekangan dalam sistem polis yang hanya akan menyenaraikan satu-satu akaun selepas proses dan prosedur siasatan yang agak panjang.

“Selepas memahami prosedur dalaman polis, pihak majlis berpendapat aplikasi yang berasaskan maklumat orang ramai untuk memelihara kepentingan umum adalah diperlukan.

“Aplikasi ini membolehkan mangsa segera melapor dan pasukan kami juga akan menyaring laporan berkenaan dengan cepat.

“Dengan itu orang ramai boleh membuat semakan segera sebelum memasukkan duit ke dalam akaun yang mencurigakan,” katanya.

Menurutnya, inspirasi untuk membangunkan aplikasi Idenfic timbul berikutan aduan penipuan khususnya membabitkan jualan dalam talian yang banyak sejak PKP 1.0.

“Dengan aplikasi ini, orang ramai akan berhati-hati apabila berurusan dengan akaun yang disenaraikan, walaupun kaedah penipuan sudah berlainan.

“Konsep aplikasi ini adalah kita jaga kita selain mengurang beban kerja polis yang sangat tinggi berhubung penipuan dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast