Datuk Khairul Dzaimee Daud. Foto AFFAN FAUZI, 21 JUN MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pelacuran warga asing yang menjalankan aktiviti secara nomad dengan berpindah hotel setiap dua minggu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras semalam seramai 15 wanita warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Katanya, daripada jumlah wanita yang ditahan berumur antara 19 hingga 34 tahun itu, 11 adalah warga Thailand, tiga warga Vietnam dan seorang warga Indonesia.

“Maklumat daripada risikan yang dijalankan mendapati sindiķet ini menjalankan aktivti dari satu hotel ke hotel yang lain setiap dua minggu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

“Aktiviti pelacuran ini dijalankan di tingkat tiga hotel tersebut dan bilik-bilik didaftar menggunakan nama warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai penjaga bagi kesemua pelacur warga asing tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mereka menjalankan aktiviti pelacuran di premis tersebut tanpa rasa takut terhadap pihak penguatkuasaan dan undang-undang serta tidak menghiraukan wabak Covid-19.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati sindiket ini hanya membenarkan pelanggan yang dikenali sahaja untuk melanggan khidmat pelacuran bagi tujuan mengelakkan aktiviti berkenaan dihidu oleh pihak penguatkuasa dan kegiatan tersebut dijalankan atas pengetahuan pihak pengurusan hotel.

“Perkhidmatan seks ditawarkan mereka adalah dengan harga dari RM230 hingga RM500 bagi tempoh masa selama 45 minit dan separuh daripada bayaran akan diambil oleh majikan dan selebihnya merupakan “tips” untuk wanita warga asing bagi setiap pelanggan.

“Pelanggan terlebih dahulu akan memilih wanita warga asing yang ingin dilanggan melalui aplikasi ‘WeChat’, ‘Telegram’ atau ‘Link’ tentang aktiviti ini yang diwujudkan khas oleh sindiket ini dan sejumlah bayaran perlu dijelaskan kepada penjaga atau penyelia terlebih dahulu di lobi hotel sebelum diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah untuk khidmat seks,” ujar beliau.

Khairul Dzaimee berkata, seramai tujuh orang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penyelia atau lebih dikenali sebagai “captain” dan pengurus operasi hotel tersebut turut ditahan dalam serbuan itu.

“Seramai tiga orang pelanggan dan pekerja hotel yang berada di lokasi diberikan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan dan antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.

Tambah beliau, kesemua tahanan akan dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan.

Meketra disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast