Amiruddin Hamzah

KUALA LUMPUR – Moratorium menyeluruh mesti diluluskan dengan segera dan dilanjutkan sehingga imuniti berkelompok dicapai sebelum lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup, lebih ramai rakyat dibangkrapkan dan dalam situasi terdesak, ramai yang membunuh diri.

Ramai rakyat dan perniagaan dinafikan moratorium bersasar kerana mereka perlu memohon dengan menyediakan berbagai maklumat, dokumen dan bukti.

Setiausaha Agung (Penaja) Parti Pejuang Tanahair, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, pihaknya amat risau situasi kritikal peniaga-peniaga mikro, industri kecil dan sederhana yang ‘sudah nak mati’ dan berpendapat bantuan ‘moratorium menyeluruh’ ialah bantuan yang sangat diperlukan pada saat ini.

”Kami amat faham tekanan emosi yang dialami oleh seorang wanita yang kehilangan pekerjaan, dihalau keluar dari rumah yang disewa dan cuba untuk membunuh diri dan percaya ramai yang berada didalam situasi seperti wanita tersebut.

”Kami bimbang cubaan membunuh diri akan lebih berleluasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, dalam lima  bulan pertama tahun ini, sebnayak 53 kes bunuh diri dilaporkan di Pulau Pinang manakala jumlah kes bunuh diri di seluruh Malaysia meningkat lebih 20% dan punca utama merupakan beban hutang.

Malah, kata Amiruddin, pihaknya juga menerima banyak laporan melalui sesi lapangan bersama rakyat bagaimana susahnya usahawan dan peniaga untuk memohon moratorium dari bank.

Butir-butir, maklumat dan dokumen yang diminta oleh bank menyukarkan keadaan.

Katanya, dalam keadaan pemohon yang sudah parah dengan situasi semasa, mereka dihimpit lagi dengan berbagai permintaan oleh bank.

”Rakyat yang sedang susah tidak patut dibebankan lagi dengan proses-proses untuk memohon moratorium pinjaman. Moratorium pinjaman boleh ditawarkan oleh institusi bank tanpa bajet tambahan dari kerajaan,” ujar beliau.

Katanya, semua bank merekodkan pertumbuhan keuntungan semasa pandemik dan ini membuktikan prestasi bank tidak terjejas berbanding situasi kebanyakan individu dan perniagaan yang sudah hampir muflis.

Selain dari bantuan moratorium pinjaman, Amiruddin berkata, Pejuang turut menggesa kerajaan menyalurkan bantuan moratorium sewa seperti yang diluluskan di United Kingdom sehingga bulan Mac 2022, memberi pengurangan bayaran utiliti dan pilihan untuk rakyat
mengeluarkan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

”Kerajaan juga telah membelanjakan wang simpanan negara KWAP di atas rasional keperluan. Dalam keadaan terdesak, rakyat juga patut diberi pilihan.

”Perbelanjaan tertinggi untuk setiap isi rumah ialah perbelanjaan untuk membayar pinjaman (sama ada pinjaman kereta, kad kredit atau pinjaman rumah) dan pembayaran sewa. Kedua-dua perbelanjaan ini menelan lebih setengah dari pendapatan isi rumah.

”Bayangkan beban perbelanjaan isirumah tanpa pekerjaan tetap atau apabila perniagaan tidak beroperasi,” tambah beliau.

Lantaran itu, katanya, moratorium menyeluruh untuk semua pinjaman dan moratorium sewa dapat membantu rakyat bernafas lega dalam melalui krisis terbesar dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast