Tunku Ismail melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru semua rakyat negeri ini mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Vaksinasi terbukti dapat mengurangkan penularan wabak Covid-19 dengan berkesan dan jika imuniti kelompok dicapai dalam masa terdekat, maka kehidupan dapat kembali normal dan pemulihan ekonomi Johor boleh bermula, kata Tunku Mahkota Johor itu.

Menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebook beliau, Tunku Ismail berkata, setakat ini, sebanyak 3,000 orang menerima vaksin di PPV Persada Johor setiap hari.

”Saya telah melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Persada Johor pada hari ini untuk meninjau pengoperasian program vaksinasi Covid-19. PPV Persada Johor merupakan PPV Mega yang pertama di Johor dan telah mula beroperasi sejak 7 Jun 2021,” katanya.

Beliau turut melahirkan keprihatinan akan keluhan rakyat mengenai akses kepada vaksin dan yakin dengan usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam memastikan bekalan vaksin mencukupi bagi semua rakyat Johor.

Tunku Mahkota Johor juga mengucapkan tahniah kepada Southern Volunteers kerana membantu barisan hadapan dalam operasi PPV di seluruh negeri ini.

”Inilah semangat kesukarelaan yang wajar dicontohi oleh semua lapis masyarakat, terutamanya golongan belia. Teruskan khidmat mulia ini dan semoga anda semua sihat dan selamat semasa menjalankan tugas,” puji beliau. – MalaysiaGazette