Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemohon rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di Sabah dan Sarawak boleh mengemukakan borang dan semua dokumen sokongan melalui kemudahan Kotak Serahan (Drop Box) yang disediakan di pejabat Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) serta di Pejabat-Pejabat Daerah yang berhampiran.

Kemudahan Kotak Serahan ini akan disediakan sehingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR pada 30 Jun 2021.

Inisiatif ini diambil bagi memudahkan pemohon rayuan BPR di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kesukaran untuk membuat permohonan rayuan secara dalam talian, sekali gus dapat membantu mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Melalui kaedah ini pemohon hanya perlu meletakkan borang rayuan BPR yang lengkap berserta semua dokumen sokongan berkaitan ke dalam kotak serahan yang disediakan mengikut waktu operasi pejabat-pejabat yang dinyatakan.

Bagi memastikan borang dan dokumen yang diserahkan adalah teratur dan tidak bercampur dengan borang rayuan pemohon lain, pemohon diingatkan agar memasukkan borang dan dokumen sokongan rayuan BPR di dalam sampul dengan kemas terlebih dahulu sebelum meletakkannya ke dalam kotak serahan tersebut.

LHDNM berkata, waktu operasi kaunter permohonan rayuan BPR di Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil LHDNM dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Bagaimanapun, ia hanya melalui janji temu sahaja di portal rasmi BPR. – MalaysiaGazette