Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2021 dijangka mencapai angka lebih tinggi berbanding tahun lalu, seperti yang dipantau oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini berikutan wujudnya tanda-tanda positif bahawa ekonomi negara sedang dalam tahap pemulihan dengan pakej-pakej rangsangan kerajaan membuahkan hasil.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, setakat suku kedua tahun ini, negara telah mencapai nilai hampir RM100 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama, dengan keyakinan tinggi tahap pelaburan lebih tinggi mampu dicapai menjelang akhir tahun ini termasuk pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana Ke-58.

Tahun lalu, Malaysia berjaya mencatat jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion walaupun mendepani cabaran wabak global dengan pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 60.9 % (RM99.8 bilion) dan FDI meningkat 39.1 % (RM64.2 bilion).

Menurutnya, keutamaan kini ditumpukan kepada pelaburan bernilai tinggi di bidang baru seperti teknologi tinggi, teknologi hijau, industri solar, kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui sebagai usaha meningkatkan kebolehupayaan pekerja Malaysia. – MalaysiaGazette