KUALA LUMPUR – UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) dan Maybank Islamic menawarkan skim tanpa wang pendahuluan, tanpa pembayaran bagi projek yang dalam tempoh pembinaan serta pembiayaan perumahan sebanyak 100% untuk 10 buah projek perumahan syarikat kepada pembeli rumah kali pertama dan kedua.

Di bawah program HouzKEY ini, pembeli tidak perlu membuat pembayaran semasa tempoh pembinaan untuk projek-projek yang masih belum selesai pembinaannya sehingga mereka memperolehi kunci kediaman mereka.

Selain menerima ganjaran tambahan daripada UEM Sunrise, para pemilik rumah juga akan dapat menikmati skim pembiayaan 100% pada kadar terendah selama lima tahun pertama dengan hanya perlu membayar deposit selama tiga bulan yang akan dikembalikan dan bukannya membayar wang pendahuluan yang tinggi.

Selain itu, pemilik rumah akan menikmati pengecualian duti setem dan memorandum pindah milik (MOT) di bawah Kempen Pemilikan Rumah (HOC) oleh kerajaan yang telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

“Kami yakin bahawa inisiatif HouzKEY ini akan membantu lebih ramai pelanggan termasuk pemilik rumah kali pertama untuk mencapai impian memiliki rumah yang dibina oleh UEM Sunrise.

”Kerjasama ini membantu pelanggan mencapai kebahagiaan dalam memiliki rumah baru serta pengalaman pembelian rumah yang menggembirakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Sufian Abdullah.

UEM Sunrise berkata, di Johor, ia menawarkan projek Aspira Gardens, kawasan perumahan eksklusif yang berpagar dan berpengawal di Gerbang Nusajaya.

Projek perumahan seterusnya ialah, Senadi Hills (Fasa 1A, 1B), sebuah projek pembangunan berstatus pegangan kekal dan The Maris, sebuah kediaman berilhamkan kawasan peranginan, terletak di Desaru Coast.

Manakala di Lembah Klang pula, program ini melibatkan projek pembangunan di KAIA Heights, projek terbaru UEM Sunrise yang merupakan sebuah kediaman bertingkat di puncak bukit Equine Park, Seri Kembangan yang mempunyai pemandangan di sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Bukit Jalil atau Hutan Simpan Ayer Hitam.

Selain itu, Residensi AVA, pembangunan induk UEM Sunrise di Kiara Bay, Kepong, berdekatan dengan Taman Metropolitan Kepong serta The Beat -hab peruncitan persisir tasik yang meriah bakal dibuka terdiri daripada peruncit. – MalaysiaGazette