M. Saravanan

PUTRAJAYA – Pekerja warga asing terutama pembantu rumah yang baharu tidak akan dapat masuk ke negara ini sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun walaupun Kementerian Sumber Manusia maklum bebanan yang ditanggung oleh majikan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau telah berbincang tentang isu ini dengan rakan sejawatnya, Ida Fauziyah  mengenai isu berkenaan secara dalam talian pada 6 Mei lalu.

“Perbincangan ini juga untuk memuktamadkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dengan segera.

“Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan rundingan mengenai MoU tersebut di peringkat pegawai-pegawai kanan kedua-dua kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perbincangan antara Malaysia dan Indonesia akan dimulakan segera sebaik tempoh ‘lockdown’ di Indonesia tamat dan pegawai Kementerian Tenaga Kerja Republik Indonesia kembali bekerja.

Jelas Saravanan, isu pembantu rumah warga asing timbul kerana tiada kemasukan warga asing baharu ke negara ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes pandemik Covid-19.

Saravanan berkata,  sebilangan besar daripada pembantu rumah warga asing di Malaysia terdiri daripada rakyat Indonesia.

Sehingga 28 Februari lalu, terdapat seramai 73,173 pembantu rumah warga Indonesia di negara ini, ujarnya.

Pada awal Februari lalu,  Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin telah mencapai persetujuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk mempercepatkan pemeteraian MoU PDI  yang telah tamat pada 30 Mei 2016. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast