Koordinator Sukarelawan, Zarina Ismail, 46, bercakap di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IDCC Seksyen 15, Shah Alam. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2021.

SHAH ALAM – Sebaik sahaja mendengar pengumuman kerajaan baru-baru ini mahu menaikkan kadar bayaran elaun kepada petugas sukarelawan, lebih 200 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini bertepuk tangan sambil bersorak kegembiraan.

Itu reaksi spontan mereka seperti digambarkan Koordinator Sukarelawan PPV IDCC, Zarina Ismail selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bayaran saguhati itu akan dinaikkan dari RM50 kepada RM100 bermula bulan ini.

Menurutnya,  meskipun jumlah itu kecil namun ia sangat bermakna kepada sukarelawan yang bertugas saban hari untuk menjayakan 60 peratus imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

“Semua orang menjerit, teruja dengar pengumuman insentif itu, sebab kita pun faham mereka di sini dapat meneruskan kelangsungan hidup walaupun ia kecil tetapi bagi mereka besar.

“Dalam keadaan sekarang ini, semua memerlukan wang, bila kerajaan umumkan, ia satu penambahbaikan kepada ekonomi kami juga.

“Kita sangat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia sebab peka dengan apa yang kami alami di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

Selasa lalu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan elaun sehingga RM100 sehari melibatkan 19,000 sukarelawan kesihatan yang dijangka menerima sagu hati ini dengan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta.

Menurut Muhyiddin, bayaran itu membabitkan sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.

Sementara itu, Zarina yang menguruskan lebih 200 petugas sukarelawan termasuk dalam kalangan petugas kesihatan dan bukan kesihatan di IDCC sejak 24 Mei lalu berkata, PPV berkenaan mampu mengendalikan sehingga 3,000 suntikan setiap hari.

“Sebelum ini saya bertugas di PPV PWTC, selepas PPV IDCC dibuka, saya ditempatkan di sini malah semalam kita bertugas di MITEC, saya jaga beberapa kawasan untuk menguruskan sukarelawan di beberapa PPV lain.

“Di sini memerlukan ramai sukarelawan berbanding MITEC tapi PWTC memang ramai sebab kadar yang datang ambil vaksin antara 8,000 hingga 9,000 orang sehari, memang memerlukan ramai sukarelawan.

“Penerima di IDCC sehari mencecah 3,000 orang, setiap hari kami menerima 3,000 vaksin,” katanya.

Petugas sukarelawan QueueMed membantu warga emas dan orang awam yang hadir mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IDCC Seksyen 15, Shah Alam. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2021.

Ketika ini katanya, PPV IDCC didatangi hampir 90 peratus warga emas untuk mendapatkan vaksin setiap hari sejak dua minggu lalu.

“Sepanjang kami berada di sini, bermula 24 Mei 2021 sehingga ke hari ini, perjalanan di IDCC sangat lancar dan untuk dua minggu lalu kami menerima ramai warga emas hampir 90 peratus.

“Kami di sini sangat berbesar hati sebab kita dapat berkhidmat untuk warga emas dan di sini juga kita dapat melihat semua anak waris memberi komitmen membantu ibu bapa mereka mendapatkan vaksin.

“Mereka menemani ibu bapa mereka datang untuk mendapatkan vaksin, kita sangat teruja sebab rakyat Malaysia sangat mementingkan kesihatan mereka,” jelasnya.

Ditanya tentang pengalaman menguruskan PPV, Zarina pun tidak pernah menyangka khidmatnya diperlukan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 sedangkan sebelum ini dia hanya menguruskan pembantu rumah dan warga asing.

“Sepanjang sebulan lalu, kami berasa seronok, semua orang tahu kita sudah lama PKP, semua orang duduk di rumah, tak dapat keluar, apabila diberi peluang untuk jadi sukarelawan untuk PPV, kami sangat berbesar hati menerima dan menyambut dengan tangan terbuka.

“Kita tak pernah rasa satu hari ini nanti kita akan dipanggil menjadi sukarelawan dan menyumbang kepada negara,” katanya.

Zarina turut menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan suntikan vaksin sebaik sahaja mereka mendapat tarikh temujanji untuk vaksinasi kerana PPV IDCC dijamin selamat dan semua sukarelawan telah divaksin lebih awal.

“Anda semua di luar sana tak perlu berasa takut untuk datang ambil vaksin di PPV ini, sebab kami semua telah divaksinkan terlebih dahulu sebelum kami membuat kerja-kerja sukarelawan.

“Jadi kita mengalu-alukan orang ramai ambil vaksin, sebab ramai orang menolak vaksin, jika sudah dapat temujanji, silalah hadir dan ambil vaksin sebab ini adalah untuk kesihatan semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kenaikan elaun sangat bermakna buat sukarelawan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast