Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia (Armada) menggesa kerajaan memberi moratorium pinjaman automatik tanpa faedah dalam penambaikan pakej bantuan yang akan dilakukan kelak.

Penolong Bendahari Armada Nasional, Syafiq Mohd Zin berkata, pihaknya mengulang saranan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang pernah mencadangkan moratorium ke atas semua jenis pinjaman.

“Kami berbesar hati dengan kenyataan dari beberapa menteri utama yang memberikan gambaran awal bahawa komitmen kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menambah baik pakej bantuan sedia ada dengan pakej rangsangan ekonomi tambahan.

“Armada berpendapat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini adalah ‘jalan keluar’ yang cukup baik dan wajar diberikan fokus serta keutamaan rentas politik sama ada daripada blok pemerintah ataupun pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Syafiq, pihaknya turut mencadangkan moratorium itu diperluaskan merangkumi beberapa aspek bagi membantu golongan terjejas akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antaranya pinjaman berlesen, penjualan secara kredit meliputi semua kad kredit, pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN, PTPTN dengan tidak mengenakan sebarang caj tambahan atau faedah.

“Juga segala bentuk bayaran sewaan, lesen perniagaan dan lesen Pihak Berkuasa Tempatan bermula serta-merta sehingga 31 Disember 2021 atau sehingga ekonomi negara kembali pulih,” ujarnya.

Jelas Shafiq, semua pelaksanaan itu akan dapat menyuntik kembali semangat rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19 dan menjayakan inisiatif kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast