Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyuntik vaksin Covid-19 kepada seorang penerima.

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyertai projek rintis program vaksinasi bergerak di sekitar Parit Sulong Batu Pahat Johor hari ini turut menyuntik vaksin Covid-19 ke atas salah seorang penerima.

Dalam hantaran di laman Facebook, Dr Noor Hisham berkongsi gambar-gambar program vaksinasi bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong.

Turut dikongsi gambar beliau menyuntik vaksin kepada salah seorang penerima yang sedang terlantar.

Program tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai pihak iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Persekutuan dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Bantuan juga diberikan oleh Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Yong Peng, Hospital Pakar Putra, UTM, RELA, PDRM dan lain-lain agensi.

Projek rintis program vaksinasi bergerak telah bermula sejak 14 Jun 2021 dan merupakan sebahagian daripada usaha IPT tempatan untuk membantu Kerajaan dalam meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). – MalaysiaGazette