Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO berharap bantuan moratorium dan i-Sinar disalurkan kepada rakyat secepat mungkin, tidak perlu tunggu bulan Julai dan Ogos atau September.

Sambil memohon maaf jika Pemuda UMNO terlalu mendesak, Datuk Asyraf Wajdi berkata, pihaknya sedih dan pedih dengan mesej-mesej yang diterima oleh orang ramai yang semakin sukar kehidupan mereka akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sejak 1 Jun lalu.

”Maaflah kalau saya dan Pemuda UMNO semacam terlalu mendesak kerana kami benar-benar merasa pedih dan sedih, saban hari membaca ribuan komen-komen dan mesej-mesej secara peribadi meminta Pemuda UMNO bersuara lantang dan mengadu akan perihal kesempitan dan keadaan rakyat yang amat susah, tertekan dan terdesak akibat PKP 3.0 yang membataskan pergerakan hingga menjejaskan pendapatan.

”Bayangkan ramai hilang punca pendapatan hinggakan sewa rumah atau ansuran rumah tak terbayar; ansuran kereta atau motor juga terlepas; makan minum anak isteri; keperluan ibubapa di kampung; keperluan susu, pampers anak; bil air elektrik yang mencanak naik kerana sepenuh masa di rumah; dan keperluan sesi PdPR anak-anak seperti gajet dan capaian Internet.

”Bagi pengusaha perniagaan, firma kecil dan sederhana pula, memikirkan gaji pekerja yang tak mampu nak bayar, komitmen bank, caruman dan pelbagai lagi yang perlu dilangsaikan tetapi pendapatan tak masuk sebab PKP bahkan simpanan juga sudah kering,” ujarnya.

Pemuda UMNO sejak awal lagi antara pihak yang bersuara lantang dan konsisten mendesak kerajaan melaksanakan moratorium automatik kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19.

Malah, sayap UMNO ini turut mahu pengeluaran i-Sinar disambung.

Menurut Asyraf, beliau sendiri menghubungi beberapa Menteri UMNO termasuk Menteri Kanan supaya mereka membawa suara Pemuda UMNO kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  agar moratorium automatik dan i-Sinar segera dipertimbangkan.

Kata Asyraf, sejujurnya, setiap hari Pemuda UMNO tidak dapat hendak membayangkan bagaimana rakyat hendak meneruskan hidup dengan keadaan terputus sumber pendapatan sedangkan khabarnya PKP 3.0 akan diteruskan sebab angka kes jangkitan Covid-19 tidak menurun untuk ke fasa 2 pemulihan.

”Mohon sangat-sangat Menteri Kewangan dan kerajaan dapat segera salurkan bantuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast