Aktiviti sihir dan pemujaan seorang lelaki terbongkar susulan bomba terima panggilan kebakaran di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor pada Selasa lalu.

GEORGE TOWN – Kegiatan seorang lelaki melakukan aktiviti sihir dan pemujaan di tingkat 31 sebuah kondominium di Persiaran Bukit Gambir, Gelugor di sini terbongkar pada Selasa lalu.

Kegiatan lelaki berusia 23 tahun itu terbongkar selepas pihak bomba menerima panggilan kebakaran di unit kediaman mewah itu pada jam 1.55 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Pulau Pinang berkata, pihak bomba yang tiba di lokasi memecah masuk kediaman susulan bau asap dari bahagian luar.

Anggota bomba memecah masuk unit kondominium tersebut pada Selasa lalu.

“Bagaimanapun, sebaik masuk pihak kami dapati ia bukan api kebakaran sebaliknya cahaya api berkenaan tercetus akibat aktiviti pemujaan.

“Susulan itu kami dapati, seorang lelaki sedang melakukan aktiviti pemujaan dalam kediaman tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Gambar individu yang digunakan untuk sihir serta pemujaan turut ditemui.

Turut ditemui pelbagai peralatan bagi aktiviti pemujaan termasuk gambar pasangan dipercayai bagi tujuan sihir dan pemujaan.

Tambah PGO, lelaki terbabit diserah kepada polis bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

MalaysiaGazette difahamkan, lelaki itu dibebaskan selepas ujian air kencingnya didapati negatif dadah.

Lelaki tersebut dipercayai melakukan aktiviti sihir serta pemujaan.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar serta video di media sosial berhubung penemuan barang pemujuaan tersebut bersama seorang lelaki lelaki. – MalaysiaGazette